Pemimpin Pemuda Bersatu bidas perhimpunan agung ‘mengecewakan’

Pemimpin Pemuda Bersatu bidas perhimpunan agung ‘mengecewakan’

Meor Naqiuddin berkata perhimpunan agung tahun ini menjadi pentas membodek pemimpin.

bersatu agm
Ahad lalu, Perhimpunan Agung Bersatu sebulat suara menamakan Presidennya Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Pemuda Bersatu menyifatkan perhimpunan agung parti itu pada hujung minggu lalu “mengecewakan” kerana kurang perbincangan berhubung perkara seperti aspirasi parti.

Meor Naqiuddin berkata perhimpunan agung yang sepatutnya membincangkan aspirasi, dasar dan sasaran parti untuk dinilai rakyat bertukar menjadi pentas membodek pemimpin.

Meor Naqiuddin
Meor Naqiuddin.

” Sudah tiga kali berturut-turut pentas Perhimpunan Agung Bersatu dijadikan pentas sandiwara drama yang sehingga kini tidak berkesudahan,” kata ketua Pemuda Bersatu Parit itu dalam catatan Facebook.

Beliau berkata usul utama Perhimpunan Agung Bersatu pada 2023 meminta Muhyiddin Yassin membatalkan keputusannya tidak mempertahankan jawatan presiden.

Katanya tahun berikutnya usul utama ialah meminta Muhyiddin kekal sebagai presiden sehingga PRU16 dan Perhimpunan Agung Bersatu pada hujung minggu lalu pula menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

“Sepanjang tiga perhimpunan agung ini, kisahnya semua sama, tetapi dengan drama berbeza. Apa sudah jadi dengan peranan Bersatu kepada rakyat? Tidak pentingkah perihal mereka di mata kita?

“Punya banyak pembahas bercerita tentang hal berkaitan hati nurani rakyat, dari masalah berkaitan ekonomi, kehidupan sosial, tekanan akibat kenaikan kos sara hidup dan bermacam lagi, akhirnya tenggelam dek kerana satu usul penuh drama.”

Perhimpunan Agung Bersatu pada Ahad lalu sebulat suara menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri parti itu.

Sokongan terhadapnya menyusul beberapa jam selepas kekecohan kecil ketika Muhyiddin dalam ucapan presidennya mendedahkan terdapat ahli parti tertentu yang mengumpul tandatangan untuk menggulingkannya.

Ketika sekumpulan kecil mengejeknya, majoriti perwakilan melaungkan “Hidup Tan Sri” sebagai sokongan.

Meor bertanya kepada ahli Bersatu “apa yang nak dibanggakan dengan perhimpunan agung kali ini” dan sama ada perwakilan mendapat ilham daripadanya.

“Persoalan saya adalah, adakah dengan hanya membawa berita kepada rakyat bahawa Muhyiddin ataupun jenama Abah akan menjadi perdana menteri ke-11 akan memenangkan kita pada PRU16?

“Jika ya, mengapakah keputusan PRN Melaka pada penghujung 2021 dan PRN Johor pada awal 2022 tidak membuahkan hasil cemerlang dengan penggunaan jenama Abah?”

Bersatu hanya memenangi dua kerusi di Melaka dan Johor.

Meor berkata, walaupun “faktor Muhyiddin” memainkan peranan dalam kemenangan PN pada PRU lalu, terdapat isu lebih besar yang mempengaruhi pengundi menyokong pembangkang, termasuk imej bersih dan apa yang ditawarkannya kepada rakyat.

“Kita perlu berhenti bernostalgia dan kembalikan tumpuan kita. Hentikan sengketa ini segera.

“Bak kata orang Parit, “Don’t let people see us as jokes and goons.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.