
Muhammad Aswadi Yah, 46, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika semua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki yang kini berusia 16 tahun di sebuah rumah di Kampung Kubang Batang, Tumpat, antara 7 hingga 7.30 pagi sejak Jun 2024 hingga Ogos lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketujuh, dia didakwa memiliki gambar lucah dalam telefon bimbitnya kira-kira 4 petang 29 Ogos lalu di lokasi sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM45,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya tidak mengganggu saksi dan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Nov ini.