Mahkamah Persekutuan tolak larangan menyeluruh ke atas rayuan batal saman

Mahkamah Persekutuan tolak larangan menyeluruh ke atas rayuan batal saman

Mahkamah Persekutuan kata sebarang keputusan yang melupuskan hak-hak sesuatu pihak boleh dirayu.

justice of scale
Mahkamah Persekutuan membenarkan Azinal Sdn Bhd merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk batal suatu saman. (Gambar Envato Elements)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan membuat suatu keputusan penting melibatkan tafsiran Seksyen 68 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA), apabila membenarkan sebuah syarikat pegangan pelaburan merayu keputusan Mahkamah Tinggi, yang menolak permohonan untuk membatalkan suatu saman.

Sebelum ini, Azinal Sdn Bhd mohon Mahkamah Tinggi membatalkan tuntutan yang difailkan oleh tiga plaintif dalam pertikaian harta pusaka, atas alasan tuntutan tersebut dihalang oleh doktrin ‘res judicata’, yang melarang perbicaraan semula perkara yang telah diputuskan dalam kes terdahulu.

Permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi, dan rayuan syarikat itu juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan atas dasar ia bertentangan dengan Seksyen 68(1)(f).

Seksyen 68(1)(f) melarang pihak yang terlibat daripada merayu kepada Mahkamah Rayuan berhubung penolakan permohonan untuk membatalkan saman.

Menyampaikan keputusan sebulat suara sidang tiga anggota, Hakim Nallini Pathmanathan menyatakan Seksyen 68(1)(f) apabila dibaca secara literal kelihatan mengenakan larangan menyeluruh ke atas semua rayuan tersebut.

“Kami berpendapat tafsiran Seksyen 68(1)(f) tidaklah semudah mengguna pakai pendekatan literal dan tatabahasa,” tulis Nallini dalam penghakiman, dan menambah ia boleh mengakibatkan ketidakadilan yang serius.

Hakim berkata pendekatan ‘bertujuan’ (purposive) akan menghasilkan tafsiran berbeza.

“Pihak perayu (Azinal) berhujah pihak responden (plaintif dalam tuntutan) terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu, merangkumi perkara sama maka saman sekarang ini sepatutnya dibatalkan,” katanya.

Nallini berkata penolakan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan tuntutan itu bukanlah “keputusan yang dibuat semasa perbicaraan atau pendengaran” kerana ia secara muktamad melupuskan hak syarikat untuk tidak disaman buat kali kedua.

Oleh itu, perintah tersebut bukanlah ‘keputusan’ dalam maksud yang diberikan kepada istilah tersebut dalam Seksyen 3 CJA, dan tidak termasuk di bawah Seksyen 68(1)(f).

“Sekiranya mahkamah semasa perbicaraan atau pendengaran membuat perintah yang secara muktamad melupuskan hak-hak pihak-pihak, ia boleh dirayu,” katanya.

Bersidang sama untuk mendengar rayuan itu Hakim Rhodzariah Bujang dan Hanipah Farikullah.

Pertikaian berpunca daripada pengambilalihan tanah seluas 180 ekar oleh Azinal daripada Pasla Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat pegangan aset yang diasaskan oleh ahli perniagaan kelahiran India, AS Dawood.

Dawood, yang berhijrah ke Tanah Melayu pada usia 13 tahun, apabila meninggal dunia meninggalkan empat isteri — Patama @ Amajibibi Daud Sah, Ameena Beevi, Maimoon Beevi dan Aishah Beevi — serta 20 orang anak.

Anak-anak isteri keempat memfailkan tuntutan mahkamah pada 2013, mendakwa penjualan tanah kepada Azinal adalah tidak sah kerana harta itu dipegang secara amanah oleh Patama.

Pada Mac 2017, Mahkamah Tinggi membuat keputusan memihak kepada mereka, tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Oktober tahun berikutnya.

Pada 2022, Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan, memutuskan bahawa Dawood tidak menubuhkan suatu amanah keluarga ketika membahagikan sahamnya dalam Pasla Holdings.

Pada 2017, tiga plaintif yang mempunyai kaitan dengan isteri kedua dan ketiga Dawood, memulakan tuntutan sekarang terhadap 11 defendan, termasuk Azinal.

Pada 2022, Azinal memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan itu, yang akhirnya membawa kepada rayuan sekarang.

Mahkamah Persekutuan memerintahkan rayuan dikembalikan ke Mahkamah Rayuan dan didengar sepenuhnya.

M Pathmanathan, Rutheran Sivagnanam, Shirin Pathmanathan dan Chong Yi Zhen mewakili Azinal selaku peguam, manakala Austen Pereira dan Zulaikha Aini Khair Johari mewakili tiga plaintif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.