
Beliau berkata, insiden mengakibatkan Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman cedera selepas terkena objek di kepala tidak sepatutnya berlaku.
“Pengusiran ini telah lama diberikan notis sebenarnya, dan saya akan meminta Johari selaku Ahli Parlimen kawasan itu untuk menangani permasalahan ini dengan segera.
“Walaupun kita telah merancang untuk adakan konvensyen mengenai Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 (RUU PSB), (tetapi) kita akan terus ambil tindakan segera sesuai dengan apa yang ada di dalam sistem perundangan sedia ada,” katanya.
Pagi tadi, berlaku kekecohan ketika operasi pengosongan 37 rumah di Kampung Sungai Baru, menyebabkan tiga individu ditahan polis selain Sulizmie cedera.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata pihak berkuasa hanya melaksanakan writ pemilikan kosong dikeluarkan mahkamah terhadap 37 rumah teres di kawasan itu.
Insiden itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang mengarahkan siasatan segera dijalankan.