Fadhlina nafi sekolah sorok kes buli, jaga ranking

Fadhlina nafi sekolah sorok kes buli, jaga ranking

Menteri pendidikan berkata, KPM takkan kompromi jika dapati ada kes buli disorok oleh sekolah.

buli-sekolah
Sekolah menengah rekod angka tertinggi insiden buli, dengan 3,064 kes pada 2022, 5,418 kes pada 2023 dan 5,689 kes tahun lepas. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menafikan dakwaan sekolah sengaja sorok kes buli demi menjaga ranking.

Pada sesi dialog awam hari ini, seorang peserta mendakwa ada sekolah yang berbuat demikian bagi memastikan ranking mereka tidak terjejas.

Mengulas lanjut, Fadhlina menegaskan bahawa sistem ranking sedemikian tidak wujud dan semua kes buli wajib dilaporkan selaras dengan peraturan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Yang saya nak tekankan, semua sekolah ada tanggungjawab yang cukup besar dalam (tangani kes buli). Ini bukan sekadar soal perundangan atau peraturan, tetapi juga satu tanggungjawab moral yang berakar umbi pada asas pendidikan itu sendiri.

“Pentadbir dan guru (harus) mengambil tanggungjawab penuh apabila kejadian buli berlaku di sekolah, semua kes mesti disiasat secara telus.

“Kami tidak akan kompromi jika ada cubaan sembunyi sebarang insiden buli,” katanya pada sidang media selepas sesi itu.

Menurut Fadhlina, kementeriannya telah menambah baik portal aduan bagi membolehkan pelajar membuat laporan kes buli tanpa mendedahkan identiti.

Pada sesi dialog itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Farah Nini Dusuki mendedahkan kes buli di sekolah awam meningkat secara mendadak sejak tiga tahun lalu.

Katanya, KPM merekodkan 3,883 kes buli pada 2022, melonjak kepada 6,528 pada 2023 dan 7,681 tahun lepas.

Sekolah menengah merekodkan angka tertinggi dengan 3,064 kes pada 2022, 5,418 kes pada 2023 dan 5,689 kes tahun lepas. Kes di sekolah rendah turut naik daripada 819 (2022) kepada 1,110 (2023) dan 1,992 (2024).

“Kita tidak boleh pandang remeh isu buli. Ia bukan saja menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak, malah meninggalkan kesan jangka panjang pada emosi dan masa depan mereka,” ujarnya.

Satu rang undang-undang (RUU) bagi menubuhkan tribunal antibuli dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada sidang Oktober ini.

Ahad lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, tribunal itu mampu menyegerakan pendengaran kes berbanding proses mahkamah yang memakan masa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.