
Mahathir berkata, beliau ‘kagum’ membaca kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengenai siasatan agensi antirasuah itu terhadap aset didakwa dimilikinya di UK.
“Rupa-rupanya saya ada harta di UK. Saya tak tahu.
“Tolong bagi tahu kepada saya supaya saya dapat ‘claim’ harta ini, setelah dapat saya akan hadiah kepada ramai yang miskin,” katanya di aplikasi X.
Semalam, Azam berkata siasatan terhadap Mahathir masih berjalan dengan tumpuan kini diberikan kepada aset dipercayai dimilikinya di UK.
Katanya, SPRM kini dalam proses mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkuasa UK berhubung perkara itu.
Pada April 2024, Azam dilaporkan berkata bekas perdana menteri itu antara individu disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.
Susulan penyiasatan itu, kedua-dua anaknya diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh dinyatakan bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Pada 21 Jan lalu, dilaporkan menurut pengisytiharan harta dikemukakan kepada SPRM, Mokhzani memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion, manakala Mirzan sebanyak RM246.2 juta.