
Anwar berkata insiden menyerang hingga mencederakan penjawat awam oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab itu adalah perbuatan keji.
“Saya telah menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera serta memburu dalang dan penyerang yang terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Perdana menteri berkata kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian, namun kebebasan itu tidak boleh disalahgunakan hingga melanggar undang-undang.
Katanya, prinsip kebebasan juga menuntut kita untuk bertanggungjawab dan mesti patuh tunduk pada hukum, adab dan undang-undang.
“Berhimpun secara aman tidak harus disalahguna untuk kepentingan politik sempit dan mencetuskan suasana tidak tenteram dalam masyarakat.
“Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Berita Harian melaporkan kekecohan tercetus apabila penduduk mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka memasuki kawasan perumahan itu.
Menurut akhbar itu, terdapat kesan darah di bahagian muka Suzilme.
Operasi itu dilaporkan diketuai bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan terbabit.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan siasatan rapi dilakukan bagi memastikan dalang serta pelaku yang terlibat dalam kejadian itu dibawa segera ke muka keadilan.
“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta integriti pasukan keselamatan negara adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana usaha menyalahgunakan hak berhimpun untuk tujuan politik sempit, mencetuskan suasana tidak tenteram, atau menghasut kebencian melalui maklumat palsu,” katanya dalam kenyataan.