
Beliau berkata, perdana menteri memainkan peranan penting dalam membantu menyelesaikan isu membabitkan hubungan Kemboja-Thailand sekali gus membuktikan komitmen Malaysia sebagai pejuang keamanan.
“(Perdana menteri) sendiri pun telah mengangkat standard Malaysia ini dari sudut diplomasi kerana apabila (beliau) dapat sedikit sebanyak menyelesaikan masalah Kemboja-Thailand, duniamengiktirafkan bahawa keamanan ini objektif beliau.
“Saya dengar apa yang berlaku di (Doha) Qatar itu adalah secara ‘blatant’, yang tidak mengambil kira keadaan kedaulatan sesebuah negara dan keamanan seperti yang kita tuntutkan.
“Oleh itu, kami rasa bahawa (perdana menteri) telah mengangkat imej kita sebagai pejuang untuk keamanan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti sempena lawatan kerja perdana menteri ke Sarawak malam ini.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Awang Tengah Ali Hasan, Douglas Uggah Embas dan Dr Sim Kui Hian serta barisan menteri persekutuan dan negeri.
Media antarabangsa melaporkan Zionis menyerang Doha pada Selasa lepas, kononnya menyasarkan kepimpinan politik Hamas yang dipercayai bermesyuarat mengenai cadangan gencatan senjata Gaza yang disokong Amerika Syarikat.
Serangan di kawasan Leqtaifiya itu, melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Zionis, menyebabkan enam terkorban termasuk anak pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, sementara pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat.
Terdahulu, perdana menteri turut mengesahkan menerima jemputan daripada Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar, pada 15 Sept ini.
Anwar berkata, persidangan itu antara lain akan membincangkan perkembangan mutakhir di Gaza, Palestin dan serangan ganas Zionis ke atas wilayah berkenaan yang disifatkannya sebagai sudah melampau.