
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman itu ke atas Mohd Nasli Mohd Nasir, 39, selepas mendapati perayu waras ketika melakukan kesalahan berkenaan dan pembelaan bahawa beliau mengalami skizofrenia tidak berjaya dibuktikan.
Menurut fakta kes, Nasli tinggal berjiran dengan Mohd Zamri Mohd Rowi yang ketika itu berpangkat superintendan.
Pada 15 Ogos 2019, ketika Zamri tiba di rumahnya, beliau mendapati pokok kelapa yang ditanam di tepi jalan di hadapan rumahnya dicabut dan pokok itu dibuang di halaman rumahnya.
Seketika kemudian, Nasli sampai di hadapan rumah Zamri dengan menaiki kenderaan dan mempertikaikan penanaman pokok kelapa serta mengarahkan mangsa untuk mendapatkan kebenaran dahulu.
Nasli selaku perayu tidak puas hati dan memarahi mangsa, kemudian keluar daripada kenderaan dan mengejar mangsa sambil membawa parang, dan menetak pegawai polis itu dari arah belakang dan terkena tangannya yang sedang menahan Iuka di kepala akibat tetakan kali pertama.
Ia menyebabkan ibu jari tangan kanan Zamri putus, lapor Harian Metro.
Dalam keputusan rayuan Nasli ke atas hukumannya pada 5 Ogos, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati, perayu tidak mencapai tahap bagi pembelaan tidak waras menurut Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
Isu utama perayu dalam memohon pengurangan hukuman adalah keadaan kesihatannya yang menghidap skizofrenia, yang mana dihujahkan mewajarkan hukuman yang ringan dan berbentuk pemulihan.
Menurut penghakiman bertulis dikeluarkan pada 8 Sept lalu, panel diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali, mendapati Nasli telah didapati waras semasa melakukan kesalahan berkenaan.
“Hakim Mahkamah Sesyen telah mengingatkan dirinya berkenaan prinsip hukuman dan mengambil kira hujahan mitigasi daripada perayu dan pendakwaan bagi faktor pemberatan.
“Di dalam menjatuhkan hukuman, hakim bicara tiada khilaf dan telah menimbangkan kepentingan perayu dan keadaan mentalnya dan juga kepentingan awam,” katanya.
Perayu diwakili peguam bela Mohd Yazid Mustafa, manakala Zaki Asyraf Zubir bertindak bagi pihak pendakwaan selaku responden.
Mengikut pertuduhan, Nasli didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah di bahagian ibu jari tangan kanan mangsa hingga putus dan mengalami cacat kekal.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu menggunakan parang panjang di hadapan rumah di Taman Cordoba Residence Padang Luas, Jerteh, Besut, kira-kira 12.30 tengah hari, pada 15 Ogos 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.