Sebutan kes pecah amanah Ramasamy 5 Nov

Sebutan kes pecah amanah Ramasamy 5 Nov

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu dibicarakan atas 17 pertuduhan pecah amanah.

P Ramasamy
Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy bersama peguam dan penyokongnya selepas sebutan kes hari ini. (Gambar Shamsher Singh Thind)
BUTTERWORTH:
Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 5 Nov bagi sebutan lanjut kes pecah amanah (CBT) membabitkan bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy yang berjumlah RM850,000.

Pada sebutan hari ini, pihak pendakwaan menyerahkan lapan lagi ikatan dokumen kepada pihak pembelaan, menjadikannya keseluruhan sembilan setakat ini, menurut peguam Ramasamy, Shamsher Singh Thind.

Shamsher berkata prosiding hari ini hanya bagi pengurusan kes, manakala mahkamah akan dimaklumkan mengenai status pendedahan dokumen di bawah Kanun Tatacara Jenayah pada 5 Nov.

Ramasamy, 76, sedang dibicarakan atas 17 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang antara 2019 dan 2022.

Beliau menafikan sebarang salah laku dan menyifatkan kes itu bermotifkan politik, mengaitkannya dengan pengunduran dirinya daripada DAP serta penubuhan parti baharunya, Urimai.

Kes itu didengar di hadapan hakim Zulhazmi Abdullah. Peguam Eng Yuh Pei turut hadir mewakili Ramasamy.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.