Petronas meterai perjanjian bekalan LNG 15 tahun dengan Woodside

Petronas meterai perjanjian bekalan LNG 15 tahun dengan Woodside

Perjanjian jual beli itu berhubung pembekalan satu juta tan setahun LNG ke Malaysia bermula 2028.

Petronas LNG bintulu
Perjanjian antara Petronas LNG Ltd dengan Woodside Energy Trading Singapore Pte Ltd dijangka perkukuh keselamatan tenaga di Semenanjung dengan mengintegrasikan pembangunan gas huluan bersama import LNG. (Gambar Petronas)
KUALA LUMPUR:
Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas LNG Ltd memeterai perjanjian jual beli selama 15 tahun dengan Woodside Energy Trading Singapore Pte Ltd bagi membekalkan satu juta tan setahun (Mtpa) gas asli cecair (LNG) ke Malaysia bermula 2028.

Petronas dalam kenyataan hari ini berkata, LNG akan dibekalkan daripada portfolio global Woodside yang mungkin termasuk jumlah daripada projek LNG Louisiana yang diluluskan baru-baru ini di Amerika Syarikat.

Katanya, perjanjian itu dijangka memperkukuh keselamatan tenaga di Semenanjung dengan mengintegrasikan pembangunan gas huluan bersama import LNG.

Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran & Perdagangan Petronas LNG Shamsairi Ibrahim berkata, kerjasama dengan Woodside bagi memastikan bekalan yang boleh dipercayai dan fleksibel untuk ekonomi Malaysia yang berkembang.

Kata Shamsairi, ia juga meningkatkan portfolio globalnya untuk menyampaikan tenaga secara bertanggungjawab dan lestari.

Dalam pada itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Komersial Woodside Mark Abbotsford pula berkata, perjanjian pembekalan LNG jangka panjang dengan Petronas ini merupakan satu pencapaian strategik berikutan ia perjanjian pembekalan LNG jangka panjang pertama syarikatnya dengan Malaysia.

“Perjanjian ini satu lagi bukti kekuatan dan fleksibiliti portfolio global Woodside yang pelbagai serta mengukuhkan kedudukan kami sebagai pembekal tenaga yang dipercayai di Asia, selain menyokong penciptaan nilai jangka panjang dan kemakmuran serantau,” katanya.

Woodside dan Petronas berkongsi hubungan yang lama, iaitu pernah bekerjasama dalam kajian penerokaan, inisiatif penyelidikan dan pembangunan serta transaksi LNG secara serta-merta selain jangka sederhana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.