
Pengarahnya, S Jegan berkata, pegawai penguat kuasa KPDN negeri menjalankan pemeriksaan itu bersama penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) di premis tersebut bermula 11 pagi, yang didapati beroperasi dengan pekerja warga Myanmar.
“Kami mengambil tindak pantas dengan menjalankan pemeriksaan ke atas premis itu dan terdahulu pasukan penguat kuasa turut memeriksa sebuah premis makanan di medan selera di Persiaran Gurney. Kedua-dua kedai tersebut dipercayai milik syarikat yang sama, berdasarkan nama (premis) sama,” katanya.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati, tidak terdapat sebarang logo Halal Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) atau membuat apa-apa representasi atau perbuatan yang boleh memperdaya atau mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal dan boleh dimakan oleh orang Islam yang ditampal atau dibuat didalam premis perniagaan tersebut.”
Beliau berkata kedua-dua premis itu dinasihatkan supaya mematuhi kesemua peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak KPDN.
Menurut Jegan, KPDN Pulau Pinang masih memeriksa dan memantau premis-premis tersebut kerana risau pemilik kedai telah membuang sijil halal yang dipamerkan selepas kejadian tersebut tular.
Terdahulu, tular video berdurasi 1 minit 30 saat memaparkan seorang lelaki mempertikaikan tindakan pekerja sebuah premis makanan di medan selera sebuah pusat beli belah yang meletakkan sijil halal Jakim didakwa bukan milik sendiri.