
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said membentangkan model pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya yang turut dipersetujui Kabinet.
Katanya, Jemaah Menteri memutuskan melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan ini diambil selepas meneliti Laporan Akhir dan Hala Tuju disediakan Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dipengerusikan menteri (Azalina).
“Bagi tujuan ini, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan pendakwa raya yang berkuasa sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Bahagian itu berkata, satu Rang Undang-undang Pembaharuan Undang-undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan.
“Pada masa sama, satu akta baharu khusus mengenai saraan peguam negara dan pendakwa raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971.
“Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa pelaksanaan ini dibuat secara berfasa, dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada,” katanya.
Pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya antara reformasi institusi dan tadbir urus hendak dilaksanakan kerajaan perpaduan.