
Saifuddin mengecam pencabulan kedaulatan Qatar dan undang-undang antarabangsa, serta percubaan terhadap tokoh-tokoh politik semasa rundingan berkaitan konflik di Gaza sedang diusahakan.
“Saya menyeru komuniti antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB, agar bertindak segera menangani situasi yang amat serius ini,” menurut kenyataan.
Semalam, Israel melancarkan serangan yang menyasarkan kepimpinan Hamas di Doha, termasuk Khalil Al-Hayya yang terlibat dalam rundingan gencatan senjata.
Serangan tersebut meragut lima nyawa namun gagal membunuh para perwakilan yang terbabit dalam perundingan, menurut Hamas.
Beberapa jam kemudian, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengumumkan Israel menerima cadangan gencatan senjata baharu oleh Amerika Syarikat.
Media British, BBC memetik pegawai keselamatan Israel sebagai berkata operasi itu berpotensi mencetuskan ‘anjakan’ yang boleh membawa kepada menamatkan perang di Gaza, namun belum jelas bagaimana menyasarkan ketua perunding Hamas akan membawa kepada anjakan yang diperkatakan itu.
“Serangan itu mencabul undang-undang antarabangsa, serta kedaulatan dan wilayah Qatar,” kata Saifuddin.
“Saya juga mengecam penyasaran tokoh-tokoh politik semasa proses rundingan yang mana Qatar memainkan peranan yang amat penting.”
Serangan Israel itu dilapor membabitkan 10 pesawat tempur, yang melancarkan lebih 10 senjata ke atas satu sasaran di ibu negara Qatar.
Qatar menjadi perantara penting dalam rundingan gencatan senjata dalam konflik di Gaza, dengan secara langsung menghubungkan Amerika Syarikat, Israel, dan Hamas dan menganjurkan beberapa siri rundingan.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dilapor berkata Qatar memainkan peranan positif dalam usaha mencapai gencatan senjata dan membebaskan tahanan.