
Ahli Parlimen Bagan Serai itu mendedahkan Hadi pada waktu itu tidak sibuk mahu menjadi menteri, malah meminta namanya tidak disenaraikan dalam Kabinet.
“Presiden kita juga bukanlah orang yang ada matlamat merebut jawatan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Sebagai rekod, semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Marang itu dilantik sebagai duta khas perdana menteri ke Asia Barat bertaraf menteri.
Idris berkata demikian bagi mengulas sama ada fokus utama Muktamar PAS kali ke-71 berkait dengan transisi jawatan presiden yang akan terus disandang Hadi untuk penggal 2025-2027.
Beliau mengekalkan jawatan tanpa bertanding, begitu juga timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man serta tiga naib presiden – Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad dan Amar Abdullah.
Idris turut menekankan tidak timbul persoalan Hadi mahu menjadi perdana menteri dan PAS sendiri tidak mahu berebut.
“Pada kita, paling penting ialah selamatkan negara dan politik Malaysia.
“Itu matlamat PAS dan presiden. Oleh itu memang kita tidak buat percaturan, itu tiada dalam kamus atau diari tok guru kami,” katanya.
Isu calon perdana menteri atau ‘poster boy’ bagi PN pada PRU16 antara perkara sering dibangkitkan dan menimbulkan percanggahan membabitkan pemimpin komponen itu.
November tahun lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menafikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin disahkan sebagai calon rasmi PN untuk PRU16, sambil menegaskan partinya wajar mengetuai gabungan itu.
Namun, beberapa pemimpin dalam Bersatu dan Gerakan terus menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai calon utama perdana menteri mewakili Perikatan Nasional (PN).
Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu minggu lalu mencadangkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri dari parti itu.
Ketua Peneranganya Tun Faisal Ismail Aziz mengesahkan usul itu akan dikemukakan ke Majlis Presiden PN untuk dibincangkan.