Counter setting: 18 pegawai penguat kuasa, 5 pemilik syarikat direman

Counter setting: 18 pegawai penguat kuasa, 5 pemilik syarikat direman

SPRM turut beku 40 akaun bank dengan nilai melebihi RM1 juta.

sprm
SPRM menahan keseluruhan 27 individu disyaki terlibat sindiket ‘counter setting’ dalam operasi Selangor, Melaka, Kuala Lumpur, dan Negeri Sembilan, semalam. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
18 pegawai agensi penguat kuasa antara 27 individu dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah sebagai balasan untuk memudahkan kemasukan warga asing tanpa melalui prosedur.

Menurut sumber, penahanan suspek dalam sindiket ‘counter setting’ itu terdiri 19 lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an, yang ditahan dalam operasi di Selangor, Melaka, Kuala Lumpur, dan Negeri Sembilan, semalam.

“Suspek disyaki terlibat sindiket ‘counter setting’, yang mereka dipercayai memberi dan menerima wang rasuah sebagai balasan memudahkan urusan kemasukan warganegara asing ke negara ini tanpa menerusi prosedur ditetapkan.

“Susulan operasi itu juga SPRM telah menyita wang tunai lebih RM200,000, beberapa unit barangan kemas, kepingan emas, kereta, motosikal, beg tangan, jam tangan dan peranti telekomunikasi,” menurut sumber itu.

Sumber berkata, SPRM telah membekukan 40 akaun perbankan melibatkan 34 akaun individu dan enam akaun syarikat dengan nilai melebihi RM1 juta susulan operasi berkenaan.

Permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, Melaka, Seremban, dan Kuala Lumpur dibuat pagi tadi dan semua suspek kini direman tiga hingga tujuh hari iaitu sehingga 12 hingga 16 Sept.

“Selain 18 pegawai agensi penguat kuasa, turut direman ialah lima pemilik syarikat, seorang pengurus syarikat dan tiga orang awam”, kata sumber itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan itu dan menyatakan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.