
Nasiruddin, 66, dan tiga lain – Hamimah Yakub, 73, serta pasangan suami isteri Khushairi Osman, 54, dan Asmanira Ramly, 44 – mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Nasiruddin berkerusi roda, berdepan 109 pertuduhan berjumlah RM14 juta; Hamimah didakwa 60 pertuduhan RM710,000; Khushairi didakwa 54 pertuduhan melibatkan RM20.3 juta; manakala Asmanira didakwa 41 pertuduhan membabitkan RM5 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 2020 hingga 2024 melalui 10 akaun di Bandar Baru Bangi, Rawang, dan Subang Perdana.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum 15 tahun penjara serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah yang terlibat atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Prosiding bermula pada 10 pagi itu berlangsung lima jam, dengan dua orang jurubahasa bergilir membacakan pertuduhan kepada semua tertuduh.
Sekurang-kurangnya 12 individu dipercayai ahli keluarga tertuduh dilihat menunggu dengan sabar di galeri ketika pertuduhan dibacakan.
Mahkamah menolak permohonan ikat jamin bagi Nasiruddin yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). Jaminan ditetapkan RM20,000 masing-masing kepada Hamimah dan Asmanira, manakala RM25,000 bagi Khushairi.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Nov untuk Nasiruddin dan Hamimah, serta 24 Nov bagi Khushairi dan Asmanira.
Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Izham Marzuki, Megat Mahathir Megat Tharih Affendi, dan P Sangari. Tertuduh diwakili peguam Rosli Kamaruddin dan Dorina Abdullah.