
SKMM dalam satu kenyataan berkata, semakan awal terhadap kandungan tular di TikTok telah dilaksanakan dengan kerjasama pihak penyedia platform media sosial berkenaan.
“Bagaimanapun, SKMM masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak TikTok bagi melengkapkan siasatan.
“Sehingga kini, hasil siasatan yang diperoleh telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk penelitian serta arahan lanjut.
“SKMM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan dengan penuh integriti dan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, meminta SKMM mendedahkan hasil siasatan berhubung video yang dikaitkan dengan isu pemberian subsidi RON95, memandangkan siasatan itu telah berjalan selama tiga minggu.
Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon maaf dan menarik balik dakwaan bahawa beliau mempertahankan kebajikan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
Pada 21 Ogos lalu, Anwar dipetik berkata beliau masih menunggu hasil siasatan SKMM bagi menentukan sama ada tiga sumber maklumat yang dirujuknya adalah palsu atau sebaliknya.
Jika SKMM mengesahkan sumber itu tidak sahih dan beliau melakukan kesilapan, Anwar menegaskan beliau ‘tiada masalah’ untuk memohon maaf kepada Muhyiddin.
Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata Muhyiddin didakwa mempersoalkan kerajaan kerana membebankan warga asing sedangkan mereka turut menyumbang besar kepada negara.
Perdana menteri menjelaskan kerajaan membuat keputusan mengenai subsidi bersasar bagi elektrik dan petrol RON95 supaya ia terus membantu rakyat sambil mengurangkan defisit fiskal negara.
Bagaimanapun, Muhyiddin menafikan pernah membuat kenyataan seperti itu dan menggesa Anwar mengemukakan bukti.
Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri meminta SKMM menyiasat dakwaannya dan mengambil tindakan sewajarnya sebagai sebahagian daripada usaha “menegakkan ketelusan dan tanggungjawab”.