
Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri, berkata perkembangan semasa menimbulkan persoalan mengenai hubungan antara dua parti itu dalam PN.
“Adakah Bersatu atau PAS yang lebih berkuasa atau betul-betul mereka ini rakan bersama?” katanya kepada FMT.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Nor, kelmarin mengingatkan Bersatu sebarang keputusan penting tidak boleh dibuat secara solo tanpa konsensus bersama rakan komponen PN.
Ini selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu meluluskan usul menamakan Presiden Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-11.
Pada hari sama, Muhyiddin dalam sidang media dilaporkan tidak menolak kemungkinan Naib Presiden Ronald Kiandee dipertimbangkan sebagai calon ketua menteri Sabah.
“Saya lihat situasi sekarang ini macam PN masih mencari ‘pusat graviti’,” kata Syaza.
Pada November tahun lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dilapor berkata Bersatu tidak boleh membelakangi partinya dalam menentukan jawatan perdana menteri, mengingatkan PAS memiliki bilangan kerusi lebih banyak dan jentera lebih kuat.
Peringatan itu selepas Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, berkata PN tetap akan menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.
Pada Julai, Hashim dilaporkan menyeru PN mengamalkan musyawarah, mengatakan ada keputusan dibuat oleh Muhyiddin tidak dibincangkan dalam gabungan itu, seperti calon perdana menteri.
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara melihat perkembangan terbaru dengan sedikit kerisauan, kerana umum sedia maklum kedudukan PAS dalam PN dan berhubung calon perdana menteri.
“Kerisauan yang dibangkitkan oleh Sanusi itu berasas kerana perbincangan kritikal seperti ini perlu melibatkan PAS,” katanya.
Beliau berkata, keputusan Bersatu baru-baru ini ‘tidak melambangkan semangat PN’.
Semalam, mengulas teguran Sanusi, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata usul mewakili ahli Bersatu itu wajar dihormati sebagai hak dan kehendak mereka, dan ia akan dibawa ke Majlis Presiden PN untuk diputuskan secara konsensus.