Adun GPS mahu Sarawak dibenar semak akaun Petronas

Adun GPS mahu Sarawak dibenar semak akaun Petronas

Wilfred Yap daripada SUPP berkata kerajaan negeri atau juruaudit bebas wajar dibenar semak perincian sebenar keuntungan Petronas.

Wilfred Yap
Adun Kota Sentosa Wilfred Yap, berkata Petronas akan memperkukuh kepercayaan dalam kalangan rakyat dengan mendedahkan rekodnya untuk diteliti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang Adun Sarawak menyeru Petronas membenarkan kerajaan negeri menyemak ‘buku akaunnya’ ketika perdebatan terus berlanjutan mengenai hasil minyak dan gas (O&G) dari Malaysia Timur yang diperoleh syarikat minyak nasional itu.

Ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Wilfred Yap, berkata kerajaan negeri atau juruaudit bebas wajar dibenar menyemak perincian sebenar kos, hasil, serta agihan keuntungan.

“Jika Petronas tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, justeru pendedahan itu hanya akan mengukuhkan kepercayaan.”

“Tanpa ketelusan seperti itu, munasabahnya rakyat Sarawak akan terus ragu-ragu terhadap dakwaan sebahagian besar hasil hilang dalam kos,” katanya dalam kenyataan sambil menambah Sarawak berhak menuntut ketelusan.

Yap, yang merupakan wakil rakyat Kota Sentosa berkata demikian sebagai respons kepada Chiew Choon Man daripada PKR, yang dilaporkan awal hari ini menolak dakwaan Petronas menguasai 95% hasil O&G dari Sabah dan Sarawak.

Chiew, yang juga Ahli Parlimen Miri, berkata dakwaan sedemikian tidak berasas dan merupakan penyelewengan terhadap rejim fiskal petroleum negara.

Menurutnya, antara 70% hingga 80% hasil O&G digunakan untuk membiayai operasi, bermula penerokaan luar pesisir sehingga ke peringkat pengeluaran.

Katanya, daripada baki 20% hingga 30% itu, kira-kira 5% akan disalurkan terus kepada kerajaan negeri masing-masing, manakala 5% lagi akan diberikan kepada kerajaan persekutuan, katanya.

Chiew turut berkata, sebahagian baki 10% hingga 20% hasil tersebut dikongsi bersama rakan kongsi pengeluaran Petronas, dan jumlah itu turut berkurangan susulan kos sampingan.

Beliau berkata, Petronas menanggung risiko perniagaan besar memandangkan kadar kejayaan komersial bagi telaga penerokaan luar pesisir hanya sekitar 20% hingga 25%.

Yap berkata, risiko ditanggung Petronas bukanlah dipikul oleh syarikat minyak negara itu semata-mata.

Katanya, Sarawak juga menanggung kesannya, termasuk risiko alam sekitar, ekonomi, serta ‘risiko terus dipinggirkan dengan sumber negeri mengisi kantung persekutuan’.

“Mengetepikan rungutan Sarawak sebagai tidak berasas atau tersalah maklumat adalah tindakan tidak adil dan tidak bertanggungjawab,” kata Adun Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.