
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata kementeriannya sedang melaksanakan siri jelajah dan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sebelum perkara itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri, yang dijangkakan hujung bulan ini.
“Atas persetujuan beberapa menteri terlibat secara langsung dan tidak langsung seperti menteri pendidikan, menteri pendidikan tinggi, menteri pertahanan, menteri komunikasi, kita harap bulan ini boleh selesaikan jerayawara.
“Kita harap dapat keputusan Kabinet pada hujung September atau awal Oktober supaya RUU ini boleh dibawa ke persidangan Parlimen pada Oktober ini,” katanya pada sidang media Konvensyen Bantuan Guaman Kanak-kanak Peringkat Asean 2025 di Pusat Persidangan Desaru Coast semalam.
Azalina berkata, melalui siri jelajah itu, kerajaan mahu mendengar pandangan orang ramai berhubung cadangan penubuhan tribunal berkenaan kerana langkah itu dilihat mampu mempercepatkan pendengaran kes berbanding proses mahkamah yang mengambil masa panjang.
“Tribunal ini lebih luas kuasanya…boleh lihat semua inti pati dan ada juga mungkin dalam elemen tribunal itu boleh tengok kepada aspek ganti rugi seperti membayar denda.
“Kemungkinan, kita nak ukur dalam aspek hukuman itu tidak semestinya penjara, mungkin kena bayar denda, mungkin kena pergi kursus…jadi, aspek lebih luas dan kepentingan tribunal kalau dipersetujui kerajaan ialah (prosesnya) cepat.”
Menurutnya, sebuah portal khas akan dilancarkan bagi mendapatkan pandangan masyarakat, selain sesi libat urus bersama badan profesional termasuk Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak, Majlis Peguam, bar negeri, pertubuhan antarabangsa serta pakar berkaitan.
Tegasnya, tribunal itu bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya turut memberi ruang kepada proses rehabilitasi buat mangsa dan pelaku melalui pendekatan keadilan restoratif.
“Kalau kita ada sistem tribunal yang cepat, orang nak melakukan (perkara) itu dia kena fikir banyak kali sebab dia tahu cepat. Itulah sebab kes gangguan seksual, saya tengok kesannya menerusi tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual itu respons sangat positif sebab (prosesnya) cepat.”
Terdahulu, Zahid memberi tempoh enam bulan kepada Azalina untuk membentangkan kertas cadangan penggubalan RUU Tribunal Antibuli kepada Jemaah Menteri selepas sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan di seluruh negara.