Pemuda PKR desak tindakan tegas individu ugut Anwar

Pemuda PKR desak tindakan tegas individu ugut Anwar

Ketua Biro Guaman Khairul Naim Rafidi berkata ia sebagai amaran kepada masyarakat tidak menyalahgunakan media sosial untuk ugut pemimpin negara.

KHAIRUL_NAIM_RAFIDI
Ketua Biro Guaman Pemuda PKR Khairul Naim Rafidi dalam sidang media selepas membuat laporan di IPD Shah Alam.
SHAH ALAM:
Pemuda PKR membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu didakwa menyebarkan kenyataan berunsur hasutan dan dakwaan palsu di media sosial termasuk ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketua Biro Guaman Pemuda PKR, Khairul Naim Rafidi, berkata tindakan itu juga sebagai peringatan dan amaran kepada masyarakat tidak menyalahgunakan media sosial untuk membuat ugutan terhadap pemimpin negara.

“Tindakan tegas terhadap individu ini penting untuk mendidik masyarakat atas nama kepentingan awam dalam kita berpolitik, berkomunikasi menggunakan media sosial perlu kita menjaga adab dan tatatusila,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan di IPD Shah Alam.

Khairul berkata, siasatan terhadap kesalahan itu boleh dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, Ketua Biro Mobilisasi Pemuda PKR, Bariqul Zaman, berkata walaupun polis sudah menahan individu terlibat, siasatan menyeluruh masih perlu dijalankan.

Semalam, polis menahan dua lelaki disyaki menyebarkan kenyataan berunsur hasutan dan dakwaan palsu di media sosial termasuk ugutan jenayah terhadap Anwar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata kes pertama melibatkan hantaran akaun TikTok menggunakan nama ‘Mohd Soie’ yang mengandungi unsur hasutan serta penghinaan terhadap kerajaan. Kes kedua pula membabitkan komen di akaun Facebook ‘Md Johan Ngadin’ yang berbaur ugutan jenayah terhadap Anwar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Selangor, Shahrul Adnan, turut membuat laporan di IPD yang sama berhubung dakwaan konon kerajaan Selangor membuat keputusan menyerahkan tanah kepada sekolah aliran Cina.

Katanya, tuduhan itu dibuat menerusi pemilik akaun Facebook ‘Gerakan Pengundi Sedar’, termasuk dakwaan kerajaan negeri membuat pengiktirafan baharu terhadap Sijil Pemeriksaan Bersama (UEC).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.