Pelajar antara 4 ditahan disyaki curi kabel

Pelajar antara 4 ditahan disyaki curi kabel

Mereka dikesan melakukan kegiatan itu oleh anggota unit MPV.

Ketua Polis JB Selatan, Raub Selamat mengumumkan penahanan seorang lelaki berusia 16 tahun dan tiga individu lain. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis menahan empat lelaki termasuk seorang pelajar sekolah menengah dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di sekitar bandar raya Johor Bahru pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 16 hingga 26 tahun, dikesan melakukan kegiatan itu oleh anggota unit kereta peronda (MPV) di Jalan Songket pada 5.15 pagi.

Beliau berkata semua suspek yang menaiki kereta Proton Wira bertindak melarikan diri sebelum berjaya ditahan di Jalan Bunga Raya.

“Suspek yang berumur 16 tahun didapati masih bersekolah, manakala suspek yang lain tidak bekerja.

“Penahanan semua suspek ini menyelesaikan enam kes kecurian kabel di kawasan Johor Bahru,” menurut kenyataan.

Raub berkata pihaknya merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel, selain kabel yang dicuri semasa kejadian.

Dalam pada itu, beliau berkata hasil saringan ujian air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine, sementara semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau curi kabel dan dadah.

Menurut Raub, semua suspek direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya, dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen.

Terdahulu, tular di media sosial dua rakaman video memaparkan pihak polis mengejar suspek yang memecut laju kenderaan sebelum berjaya diberkas di persimpangan jalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.