
Noor Azrina Mohd Azmi, 48, dalam prosiding berasingan hari ini berdepan satu pertuduhan menerima RM67.1 juta daripada hasil aktiviti haram berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (Mex II).
Pada masa sama, bekas pengarah Mex II Sdn Bhd, Yap Wee Leong, pula didakwa atas 17 pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk kerja pembinaan bagi cadangan projek lebuh raya berkenaan.
Noor Azrina kelihatan tenang ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah, dan memohon dibicarakan atas pertuduhan itu pada prosiding di hadapan Hakim Rosli Ahmad, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan, Noor Azrina didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM67,136,588.43 dalam akaun CIMB Bank miliknya dari akaun bank sama kepunyaan suaminya, di CIMB Bank, Bukit Tunku, antara 6 Mac dan 27 Nov 2017.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah pertuduhan ke atas Noor Azrina termasuk dalam pertuduhan tidak boleh diikat jamin.
Namun, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM500,000 jika mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk memberikan jaminan.
Akram turut memohon syarat tambahan iaitu tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Noor Azrina bersetuju dengan tawaran itu kerana jumlah berkenaan dilihat adil untuk anak guamnya.
Rosli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebagaimana dipersetujui kedua-dua pihak, dan menetapkan sebutan semula kes 3 Nov depan.
Sementara itu, Yap pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan secara tidak jujur menggunakan tulen, iaitu dokumen Progress Claim No 3 untuk kerja-kerja ‘Site Clearance, Temporary Works, Earthworks, Geotechnical Works, Drainage Works And Pavement Works (Subgrade).’
Ia adalah untuk kerja pembinaan bagi projek ‘Proposed Lebuh Raya Putrajaya To KLIA (Mex II) Commencing From Putrajaya Interchanged And Terminating At KLIA For Maju Holdings Sdn Bhd’, yang Yap mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu, membabitkan RM314,486,100.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Jalan Sultan Ismail antara Jun 2017 dan April 2018.
Dengan itu, Yap dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Rosli kemudian membenarkan Yap diikat jamin RM1 juta, dan turut menetapkan 3 Nov ini bagi sebutan kes.