
Perkara itu dimaklumkan pemeriksa dokumen di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik Jabatan Kimia di sini, Nurul Atiqah Mohd Noh selaku saksi kedua inkues kematian Zara Qairina dan pegawai sains yang berkhidmat dengan jabatan itu selama 21 tahun.
Tugasnya ialah menerima kes dan menyediakan laporan kimia, menjalankan pemeriksaan dokumen dipertikaikan membabitkan pemeriksaan seperti tandatangan, tulisan tangan, tulisan taip, pindaan, proses percetakan, kertas dan dakwat.
Atiqah membuat pengecaman semula dokumen berupa helaian kertas tulisan tangan ditanda ‘Y’, buku latihan, buku kerja dan buku nota milik Zara Qairina yang ditanda ‘W’ dalam prosiding hari ini di depan Koroner Amir Shah Amir Hassan dan pegawai pengendali yang menyoal saksi, Dana Arabi Wazani.
Beliau berkata, tulisan tangan dalam dokumen itu diperiksa dan dibuat perbandingan dengan contoh yang ada bagi menentukan sama ada ia milik Zara Qairina.
“Saya telah memeriksa semua tulisan tangan dan melakukan perbandingan antara tulisan tangan yang dipertikaikan dengan semua contoh tulisan tangan.
“Saya melihat ciri-ciri tulisan tangan antara kedua-duanya dan mengenal pasti persamaan dan perbezaan ciri-ciri tulisan tangan yang ada.
“Saya menggunakan kanta pembesar dan peralatan saintifik Video Spectral Comparator dalam pemeriksaan saya,” katanya menurut Berita Harian.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu selepas dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di Papar, sebelum meninggal dunia di hospital keesokannya.