
Vigneswaran berkata, beliau masih menunggu surat rasmi disebut Zahid yang juga presiden Umno yang meminta MIC memberi penjelasan bertulis kerana Bersatu bukan sebahagian BN, sebaliknya pembangkang.
“Kita masih tunggu surat, dan kita akan beri penjelasan secara bertulis sebaik sahaja menerima (surat rasmi),” katanya kepada Astro Awani.
Semalam, Timbalan Ketua Pemuda MIC K Kesavan hadir persidangan Pemuda Bersatu sambil dilihat bergambar berjabat tangan mesra dengan Ketua Pemudanya, Hilman Idham.
Timbalan Presiden MIC, M Saravanan mengesahkan kepada FMT, bahawa parti itu telah dijemput dan memaklumkan Kesavan menjadi ‘wakil mereka’.
Dalam pada itu, Vigneswaran menjelaskan ‘tiada sebarang tindakan disiplin dibincangkan setakat ini ke atas Kesavan.
Pada Jun, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata 191 bahagian parti itu akan membincangkan masa depannya di sebalik rasa tidak puas hati terhadap kekurangan pengaruh dalam kerajaan, dan akan membawa cadangan mereka ke Mesyuarat Agung Tahunan pada Oktober.
MIC juga berkata, ia bersedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti politik bagi memastikan kelangsungan parti serta untuk lebih baik berkhidmat kepada komuniti India.
Namun, baru-baru ini Zahid berkata, tiada perbincangan dibuat berkisar isu keluar gabungan antara pimpinan tertinggi MCA dan MIC.
Kelmarin, Setiausaha Agung Perikatan Nasional Azmin Ali mendedahkan gabungan itu telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan MIC dan MCA.
Kedua-dua parti tersebut bersama-sama membantu menubuhkan BN bersama Umno pada awal 1970-an, dan ketiga-tiganya juga merupakan rakan gabungan dalam Parti Perikatan sebelum itu.