
Ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-8 parti itu di Ideal Convention Centre (IDCC), Hamzah menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau cuba mensabotaj Muhyiddin, sebaliknya mengulangi ikrar menyokong penuh kepimpinan presiden.
“Cukup-cukuplah. Saya nak beritahu kepada semua, saya penyokong nombor satu presiden.
“Apa yang diarahkan kepada saya, percayalah, saya akan laksanakan,” tegasnya.
Hamzah selaku ketua pembangkang turut menyeru para perwakilan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang khabar angin atau usaha melaga-lagakan barisan kepimpinan parti.
“Jangan dengar (yang) cucuk-mencucuk. Masalahnya sekarang, ada orang yang belum tahu apa-apa, (tetapi) dia cucuk. Ini bukan budaya kita. Budaya kita, angkat martabat presiden,” katanya.
Mengulas dakwaan surat tersebut yang melabelnya sebagai ‘Si Kitol’, Hamzah menegaskan: “Saya nak beritahu, Si Kitol itu bukan orang dalam parti. Sebaliknya, orang luar.”
“Tan Sri (Muhyiddin) percayakan saya. Kita sayangkan parti, sayangkan presiden. Kalau mahu pecat (saya), ke mana saya mahu pergi? Ini parti terakhir saya sampai mati,” katanya.
Tambahnya, segala khidmat bakti dan sumbangan beliau kepada parti dilakukan dengan tulus ikhlas, tanpa menagih sebarang pengiktirafan.
“Saya buat kerana ikhlas. Saya bukan pengkhianat tapi mahu jadi seorang sahabat yang duduk sebelah presiden. Adik kepada presiden. Orang suruhan kepada presiden,” katanya.
Surat layang itu menuduh Hamzah mereka-reka dakwaan bahawa Muhyiddin menjanjikannya jawatan presiden dan cuba menggugat kedudukan presiden, menggelarnya ‘musuh dalam selimut’ yang mengingkari keputusan perhimpunan agung parti pada 2024, yang mengesahkan semula Muhyiddin sebagai presiden.
Hamzah turut menyifatkan kekecohan yang berlaku semasa ucapan dasar Muhyiddin malam tadi sebagai insiden kecil yang hanya dibesar-besarkan oleh media.
Insiden itu berlaku selepas Muhyiddin mendedahkan terdapat pihak yang sedang mengumpul tandatangan untuk menyingkirkannya. Walaupun sekumpulan kecil melaungkan gesaan agar beliau berundur, majoriti perwakilan melaungkan ‘Hidup Tan Sri’ sebagai tanda sokongan terhadap Muhyiddin.