Petronas hanya terima 10-15% bukan 95%, kata Rafizi

Petronas hanya terima 10-15% bukan 95%, kata Rafizi

Bekas menteri ekonomi berkata dakwaan Petronas bolot 95% hasil tak tepat dan gagal jelaskan belanja ratusan bilion ringgit ditanggung untuk bangunkan industri O&G di Malaysia Timur.

Rafizi Ramli menjelaskan Petronas mungkin hanya mencatat margin keuntungan sekitar 10%-15% bagi pembangunan sesebuah blok minyak dan gas yang dieksplorasi.
PETALING JAYA:
Petronas hanya mencatat margin keuntungan sekitar 10%-15% selepas hasil ditolak dengan kos pembangunan yang besar serta pembayaran dividen, jelas bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli.

Rafizi memberikan jawapan balas itu dalam sesi audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ terbarunya terhadap dakwaan Penasihat Undang-undang Kerajaan Sarawak JC Fong bahawa Petronas mengaut 95% hasil minyak dan gas (O&G) negeri tersebut sejak 50 tahun, manakala ia hanya menerima RM49 bilion dalam tempoh hampir lima dekad.

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli.

Kata Rafizi, kenyataan itu tidak tepat dan hanya mengambil angka ‘separuh-separuh’ selain gagal menjelaskan perbelanjaan ratusan bilion ringgit ditanggung Petronas untuk membangunkan industri O&G di Malaysia Timur.

Ahli Parlimen Pandan berkata, kerangka kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) menetapkan bayaran royalti sebanyak 5% bagi setiap blok yang dieksplorasi, masing-masing kepada Sarawak dan Putrajaya, manakala selebihnya digunakan menampung kos serta diagihkan bersama rakan kongsi.

“Kalau ambil satu PSC, selepas bayar 10% dividen tinggal 90%. Daripada jumlah itu, kemungkinan besar 70% adalah kos – dan ia bukan masuk poket Petronas pun. Sebahagian kos kontrak juga diberikan kepada syarikat Sarawak.

“Jadi baki 20% perlu diagih dengan rakan kongsi dan menampung kos kewangan lain. Sebab itu margin keuntungannya mungkin sekitar 10%-15%,” katanya menegaskan peningkatan kos menyebabkan perniagaan Petronas semakin tertekan.

“Akhirnya, Petronas perlu membayar semula kepada kerajaan persekutuan dalam bentuk dividen dan sebahagiannya disalurkan kepada Sarawak melalui peruntukan tertentu.”

Manakala, Petronas berhak ke atas keuntungan (10-15%) ini kerana merekalah yang melabur, mengambil semua risiko perniagaan serta melakukan semua kerja O&G di negara ini, selain bertanggungjawab terhadap perbelanjaan modal infrastruktur jangka masa panjang.

Fong dipetik sebagai berkata, jumlah berbilion ringgit yang diterima Sarawak masih jauh daripada nilai sebenar sumber minyak dan gas negeri itu, sambil menambah dana tersebut digunakan bagi membiayai projek infrastruktur utama di negeri itu.

Menurutnya, dengan mengambil semula kawalan pengedaran gas melalui Petroleum Sarawak Bhd (Petros), kerajaan negeri akan lebih berupaya menyalurkan hasil kepada program yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya tidak kata salah untuk Sarawak memiliki lebih banyak hak dalam menentukan bagaimana hasil buminya dibangunkan tetapi biarlah kita mencerdikkan rakyat kerana perkara itu tidak adil…tak betul kata 95% hasil pergi ke Petronas,” balas Rafizi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.