Mesin padi jatuh sungai: Mayat remaja dikhuatiri lemas ditemukan

Mesin padi jatuh sungai: Mayat remaja dikhuatiri lemas ditemukan

Mayat penuntut Polimas Muhammad Amsyar Muqri Masri ditemukan pada 10 pagi tadi.

mesin padi terjunam
Dilaporkan semalam seorang remaja dikhuatiri lemas selepas sebuah mesin padi terjatuh dalam sungai dalam kejadian di hadapan SMK Sanglang di Air Hitam, Kedah. (Gambar Mahdzir Hasan Det)
PETALING JAYA:
Seorang remaja berusia 18 tahun yang dilaporkan hilang selepas mesin padi dinaikinya terjatuh ke dalam sungai di Air Hitam, Kedah semalam ditemukan meninggal dunia pagi tadi.

Mayat penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) Muhammad Amsyar Muqri Masri ditemukan kira-kira 10 pagi pada kedalaman 4m di sungai berhadapan SMK Sanglang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra Noor Azhar Tajudin berkata, pencarian dijalankan dalam radius 10m dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Beliau berkata, operasi membabitkan 41 anggota termasuk bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan bantuan empat bot penyelamat.

“Kita memperluaskan pencarian mangsa pada Ahad sejak mangsa dilaporkan hilang semalam (Sabtu),” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

Menurut Noor Azhar, mayat mangsa berjaya dikesan selepas mesin padi yang terjatuh ke sungai berjaya diangkat menggunakan kren pada 11 malam semalam.

Waris mangsa telah membuat pengecaman di lokasi dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, tambahnya.

Dilaporkan semalam remaja itu dikhuatiri lemas selepas sebuah mesin padi terjatuh dalam sungai dalam kejadian di hadapan SMK Sanglang.

Selain mangsa, tiga individu lain yang terlibat dalam kejadian berjaya menyelamatkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Kubang Pasu Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa pemandu jentera mesin padi bersama tiga rakannya selesai menuai padi.

“Difahamkan, semasa menaikkan jentera, pemandu terlajak dan menjunam masuk ke dalam sungai,” katanya.

“Mangsa lain berjaya berenang ke tepi namun mangsa yang maut dilihat terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.