
“Jangan risau, kita semua bersatu sebagai satu keluarga. Semalam sudah berlalu dan saya yakin ia tidak akan berulang,” katanya ketika membuat ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Tahunan.
Beliau berkata, sebagai seorang manusia beliau turut mempunyai perasaan.
“Saya tak suka ulang hal yang tercetus semalam. Saya manusia, ada perasaan. Lebih-lebih lagi bila digelar sebagai ‘Abah’, saya tersentuh,” katanya.
Semalam, kekecohan tercetus selepas Muhyiddin mendedahkan dalam ucapan dasarnya terdapat pihak tertentu mengumpul tandatangan untuk menyingkirkannya.
Beliau memberi amaran jika tandatangan boleh digunakan untuk menyingkirkan presiden, perkara sama juga boleh dilakukan terhadap pemimpin lain di pelbagai peringkat parti.
Ada perwakilan hadir turut melaungkan ‘letak jawatan’ dan kedengaran juga sorakan ‘hidup Tan Sri’.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, satu mesyuarat tertinggi luar biasa dibuat semalam sejurus insiden itu berlaku.
Katanya, mesyuarat itu bagi membincangkan perkara berkenaan dan memastikan tidak diputar belit oleh mana-mana pihak.
“Mesyuarat itu pendek sahaja. Ada yang kata saya naik suara, tapi sebenarnya tiada mikrofon ketika itu,” katanya sambil menafikan dakwaan beliau bertindak agresif.
Beliau turut memaklumkan akan memulakan sesi jelajah ke seluruh negeri bermula Kedah untuk bertemu pucuk pimpinan akar umbi.
Katanya, jelajah itu akan bermula pada 14 Sept.