
Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima satu laporan polis pada 12.18 tengah malam tadi oleh ketua keselamatan parti itu.
Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, pengadu yang sedang bertugas ketika kejadian telah melihat dua individu lelaki yang juga ahli parti berkenaan bangun dan menjerit mengganggu sesi ucapan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
“Pengadu kemudian pergi ke arah seorang daripada lelaki itu bagi menenangkannya, namun pengadu telah ditarik dari belakang sehingga jatuh dan berlaku kekecohan di dalam dewan.
“Kejadian yang berlaku berjaya dikawal dengan baik oleh beberapa ahli yang lain, dengan membawa keluar kedua-dua lelaki itu dari dewan dan perhimpunan berjalan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan.
Iqbal berkata, kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada mana-mana individu dengan tiada sebarang kerugian harta benda dilaporkan.
Beliau dalam kenyataan sama memohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk berhubung dengan pegawai penyiasat Mohd Afandi Ahmad di talian 016-725 2948.
Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil iaitu kelakuan aib.