SARA: Pemimpin luar contohi kerajaan Madani

SARA: Pemimpin luar contohi kerajaan Madani

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata SARA jadi contoh kepada pemimpin negara luar walaupun mereka akui ia sesuatu sukar untuk dilaksanakan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada majlis penutup program Madani Rakyat di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling. (Gambar Bernama)
BALING:
Pemberian penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekali beri sebanyak RM100 kepada individu berumur 18 tahun ke atas, menjadi contoh kepada pemimpin negara luar walaupun mereka akui ia sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata beliau pernah berbincang mengenai perkara tersebut dengan rakan sejawatannya terutama pemimpin Asean dan mereka menyatakan tidak mampu melaksanakan inisiatif seumpama itu kepada rakyat di negara masing-masing.

“Perdana menteri Vietnam (Pham Minh Chinh) baru-baru ini umumkan bantuan kepada rakyat sekitar RM50 seorang, dia tanya saya macam mana (laksanakan bantuan seperti SARA)…Kita belanja RM15 bilion untuk SARA ni.

“Bila kita cakap soal SARA, ada yang mencemuh, tapi mereka lupa bahawa itu tambahan kepada SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup program Madani Rakyat di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, pelaburan semakin meningkat dengan angka meyakinkan, sambil memberi jaminan kerajaan akan terus menjaga kebajikan rakyat terutama golongan miskin.

Beliau berkata, ukuran sebenar kejayaan sesebuah negara ialah kemampuannya untuk mengagihkan kemakmuran secara adil dan menjamin keselesaan hidup rakyat termasuk di kawasan terpinggir dan terpencil.

“Dalam kerajaan Madani kita teruskan beri tumpuan dan perhatian dalam soal pembangunan wilayah dan desa…dan dari segi bantuan langsung kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan semua pihak menjalankan tanggungjawab dengan baik, apabila mempunyai kuasa sama ada dalam pentadbiran negeri mahupun negara.

“Harapan saya, rakan-rakan faham. Jangan rasuah, jangan curi harta rakyat. Kita kena jaga supaya jamin kehidupan rakyat lebih baik. Negara mesti aman, ekonomi pula mesti kukuh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.