PN ada calon KM Sabah tapi tak boleh dedah lagi, kata Hamzah

PN ada calon KM Sabah tapi tak boleh dedah lagi, kata Hamzah

Timbalan pengerusi PN yang juga timbalan presiden Bersatu berkata, calon itu 'sudah tentulah orang Sabah'.

Penggal DUN Sabah akan tamat pada 11 Nov dan PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Hamzah Zainudin berkata Perikatan Nasional (PN) sudah mengenal pasti calon ketua menteri Sabah jika gabungan itu menang PRN akan datang namun namanya belum boleh didedahkan buat masa ini.

Timbalan pengerusi PN yang juga timbalan presiden Bersatu berkata, calon itu ‘sudah tentulah orang Sabah’.

“Kenapa saya (perlu) beritahu anda sekarang? Ini kadang-kadang selalunya wartawan bertanyakan sesuatu yang kita sebenarnya tidak akan menjawab sehingga hari-hari akhir,” katanya ketika ditanya mengenai calon ketua menteri PN pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda dan Wanita Bersatu di IDCC.

“Kita pun tahu ianya di Sabah. Sudah tentulah orang Sabah dan yang bertanding pun semua orang Sabah.

“Cuma kami memberi dukungan untuk memastikan kemenangan rakan-rakan kami di Sabah.”

Penggal DUN Sabah akan tamat pada 11 Nov melainkan dibubarkan lebih awal. PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

Ketua Menteri Hajiji Noor sebelum ini memberi bayangan DUN mungkin dibubarkan dalam beberapa minggu akan datang, tetapi tidak mendedahkan tarikh sebenar. Beliau juga berkata PRN seterusnya mungkin yang terakhir baginya.

Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), parti mesra Gabungan Rakyat Sabah, sudah menamakan Timbalan Presiden Wetrom Bahanda sebagai calon ketua menteri jika ia berjaya membentuk kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.