Kerjasama parti bukan Melayu boleh tambah 22 kerusi, kata Muhyiddin

Kerjasama parti bukan Melayu boleh tambah 22 kerusi, kata Muhyiddin

Unjuran menunjukkan PN boleh tambah sokongan sebanyak 2% hingga 5% jika ia mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru, kata Muhyiddin Yassin.

muhyiddin yassin
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin akui sukar untuk menghilangkan persepsi ‘ekstremis’.
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata menjalin kerjasama dengan lebih banyak parti bukan Melayu boleh membantu gabungan itu memenangi 15 hingga 22 kerusi tambahan di Parlimen, pada PRU akan datang.

Muhyiddin Yassin berkata unjuran menunjukkan PN boleh menambah sokongan sebanyak 2% hingga 5% jika ia mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru, dan meluaskan daya tarikan kepada lebih banyak komuniti.

“Kalau parti-parti politik itu tidak bertembung sesama sendiri kita boleh menambah antara lima belas kedua puluh dua kerusi baru, dengan hanya ‘swing’ kerana tidak ada pertembungan tadi,” katanya dalam temu bual Sinar Harian.

Sebanyak 68 kerusi PN di Dewan Rakyat diduduki PAS (43) dan Bersatu (25).

Muhyiddin mengakui PN sering dilihat sebagai ‘Melayu-Muslim sahaja’ dan sukar untuk menghilangkan persepsi ‘ekstremis’. Namun, usaha sedang giat dijalankan untuk menunjukkan gabungan itu sederhana tetapi tegas dalam perjuangannya.

Beliau berkata golongan bukan Melayu sudah mula sertai Bersatu, yang mempunyai sayap bersekutu bagi mereka, dengan dua orang dalam majlis tertinggi.

“Majlis tertinggi hampir 100% Melayu tapi ada dua bukan Melayu pasal kita bincang masalah kepentingan negara,” katanya.

Muhyiddin berkata PN secara keseluruhannya bergerak secara berhati-hati, kerana pandangan umum tidak akan berubah sekelip mata.

“Kalau jangka tempoh masa ke depan…lima tahun, ke sepuluh tahun, dua puluh tahun ia masih kekal begitu (pendekatan), ia (persepsi) akan berubah sebagai sebuah parti yang betul-betul berjuang untuk nasib semua kaum,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga memperkecilkan desakan agar PN membentangkan belanjawan bayangan, selaku pembangkang dan ‘kerajaan menanti’, mengatakan langkah sedemikian tidak praktikal tanpa akses kepada data sebenar.

“Buat belanjawan ni bukan main-main, duduk empat, lima orang gubal belanjawan. Tak boleh. Ada orang kata ‘kenapa tak ada belanjawan?’ Pembangkang bukan kerja buat belanjawan. Kerajaan sediakan belanjawan dan kita bahas,” katanya.

Muhyiddin berkata peranan PN sebagai pembangkang adalah mengetengahkan beban rakyat, seperti cukai baharu dan kenaikan harga, serta mendesak dasar yang lebih baik.

“Kami bangkitkan suara di Parlimen dan di luar, tetapi kerajaan tidak dengar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.