Kemunculan sulung Pemuda MIC pada himpunan agung Pemuda Bersatu

Kemunculan sulung Pemuda MIC pada himpunan agung Pemuda Bersatu

Timbalan Ketua Pemuda MIC K Kesavan menjadi 'wakil parti', kata Timbalan Presiden M Saravanan.

kesavan and Hilman
Naib Ketua Pemuda MIC, K Kesavan berjabat tangan mesra dengan Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham.
SHAH ALAM:
Timbalan Ketua Pemuda MIC K Kesavan menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda Bersatu, menandakan jemputan rasmi pertama kepada parti itu di tengah-tengah spekulasi Perikatan Nasional (PN) cuba menarik MCA dan MIC menyertai mereka.

“Mereka jemput kita, jadi saya hadir,” katanya kepada FMT.

Ditanya sama ada MIC mungkin mempertimbangkan menyertai PN, Kesavan berkata: “Itu terserah kepada presiden parti saya. Ini kali pertama mereka jemput kami.”

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan turut mengesahkan kepada FMT bahawa parti itu telah dijemput dan memaklumkan Kesavan menjadi ‘wakil mereka’.

Turut kelihatan pada majlis itu ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda, Rahmat Amran.

Semalam, Setiausaha Agung PN Azmin Ali mendedahkan gabungan itu telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan MIC dan MCA.

Kedua-dua parti tersebut bersama-sama membantu menubuhkan Barisan Nasional (BN) bersama Umno pada awal 1970-an, dan ketiga-tiganya juga merupakan rakan gabungan dalam Parti Perikatan sebelum itu.

BN menjadi rakan utama dalam kerajaan perpaduan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang dibentuk selepas PRU15 susulan Parlimen tergantung.

Pada Jun, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata 191 bahagian parti itu akan membincangkan masa depannya di sebalik rasa tidak puas hati terhadap kekurangan pengaruh dalam kerajaan, dan akan membawa cadangan mereka ke Mesyuarat Agung Tahunan pada Oktober.

MIC juga berkata, ia bersedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti politik bagi memastikan kelangsungan parti serta untuk lebih baik berkhidmat kepada komuniti India.

Namun, baru-baru ini Pengerusi BN Zahid Hamidi, berkata tiada perbincangan dibuat berkisar isu keluar gabungan antara pimpinan tertinggi MCA dan MIC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.