Kabinet setuju Kedah kurangkan sikit tanah sawah

Kabinet setuju Kedah kurangkan sikit tanah sawah

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kelonggaran itu diberikan selepas berunding dengan Menteri Besar Sanusi Nor.

Kerajaan Kedah akui kepentingan mengekalkan status Jelapang Padi negara, namun status itu mengurangkan hasil terutama melibatkan cukai tanah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan pusat setuju memberi kelonggaran kepada Kedah mengurangkan kawasan sawahnya bagi tujuan pembangunan lain, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, kelonggaran itu diputuskan tanpa menjejaskan peranan negeri sebagai Jelapang Padi negara.

Beliau berkata, keputusan berkenaan dicapai Kabinet dan rundingan bersama Menteri Besar Sanusi Nor, baru-baru ini.

“Bila bincang dengan kerajaan negeri, mereka akui kita perlu kekal sebagai Jelapang Padi, namun ada keperluan mengembangkan kawasan seperti Alor Setar untuk pembangunan industri, perumahan, dan komersial.

“Maka Jemaah Menteri bersetuju agar sedikit kawasan sawah dapat ditukar bagi memenuhi tuntutan pembangunan,” katanya menurut Utusan Malaysia di Baling.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat 2025 Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling.

Pada 21 April lalu, Sanusi menolak bayaran insentif khas RM41 juta sebagai timbal balik pengorbanan negeri mengekalkan tanah sawah, sebaliknya mahu diberi sekurang-kurangnya RM157 juta.

Katanya, jika ditukar seluruh kawasan tanah padi kepada komersial, Kedah diunjur meraih hasil RM1.7 bilion cukai tanah.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh berkenaan peningkatan ketara peruntukan pembangunan untuk Kedah, daripada RM7.1 bilion pada 2021 kepada RM9.7 bilion pada 2025 dengan pemberian khas juga naik daripada RM451 juta kepada RM540 juta dalam tempoh sama, manakala perbelanjaan pembangunan negeri meningkat daripada RM1.48 bilion pada 2021 kepada RM2.24 bilion pada 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.