JHEAINS bantu urus jenazah 2 beradik lemas selepas kenal pasti status agama

JHEAINS bantu urus jenazah 2 beradik lemas selepas kenal pasti status agama

JHEAINS menerima permohonan polis untuk semak status agama dua mangsa, namun tiada rekod pengislaman di Kelantan seperti dimaklumkan bapa mereka.

KERETA TERGELONGSOR KE DALAM SUNGAI
Sebuah kereta Nissan terjatuh ke sungai Tanjung Agas, dengan seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan dipercayai lemas akibat terperangkap dalam kenderaan Khamis lalu. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sedang menjalankan semakan bagi menentukan status agama dua kanak-kanak lemas, selepas kenderaan dinaiki mereka menggelongsor ke dalam Sungai Linggi di Tanjung Agas, Port Dickson, Khamis lalu.

Pengarahnya, Mohd Asri Abdullah, berkata pihaknya akan menguruskan jenazah dua beradik itu selepas pengesahan status agama Islam mereka.

Beliau berkata, pihaknya menerima permohonan polis untuk semakan status agama dua kanak-kanak itu, namun tiada rekod pengislaman di Kelantan seperti dimaklumkan bapa mangsa.

“Bapa kanak-kanak itu memaklumkan pengislaman dilakukan di Kelantan, tetapi semakan di jabatan agama di sana tidak menemui sebarang rekod. Hasil semakan di negeri ini juga sama, tiada rekod pengislaman dua kanak-kanak itu.

“Pihak kami bergantung kepada pengakuan ibu bapa kandung berhubung status agama kanak-kanak ini, mereka perlu membuat laporan polis berkenaan status agama dan ini akan digunakan sebagai kebenaran untuk menguruskan jenazah tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata pihaknya menerima maklumat orang awam berhubung sebuah kereta Nissan terjatuh ke sungai Tanjung Agas, dengan kanak-kanak lelaki dan perempuan di dalamnya pada 11.45 pagi 4 Sept lalu.

Beliau berkata, siasatan mendapati kanak-kanak itu berumur enam dan lapan tahun yang beralamat di Shah Alam, Selangor, dipercayai lemas akibat terperangkap dalam kenderaan.

Semalam, Alzafny dilaporkan berkata, seorang lelaki 46 tahun dipercayai bapa kanak-kanak itu dan teman wanitanya berusia 41 tahun direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media turut melaporkan tiada ahli keluarga atau waris hadir di Unit Forensik Hospital Port Dickson ketika bedah siasat dijalankan semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.