Jangan terperangkap ketidaktentuan, nostalgia, Hamzah beritahu Bersatu

Jangan terperangkap ketidaktentuan, nostalgia, Hamzah beritahu Bersatu

Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin berkata parti itu perlu menentukan haluan sendiri dan tidak mengikut rentak pihak lain.

Hamzah Zainuddin
Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin berkata parti itu perlu ‘melangkah ke depan dan menentukan bentuk serta hala tuju politik abad ke-21’.
SHAH ALAM:
Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin berkata parti itu tidak boleh terperangkap dengan “ketidaktentuan masa depan” atau mengikut rentak pihak lain, sebaliknya perlu menentukan haluan sendiri, acuan serta hala tuju politik abad ke-21.

Menurutnya, politik moden menuntut “pembaharuan, keterbukaan, keberanian dan relevansi terhadap aspirasi rakyat”.

“Kita tidak boleh terbuai dengan nostalgia, sebaliknya perlu sentiasa mencipta kejayaan untuk negara,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda dan Wanita Bersatu di sini.

“Bersatu perlu dinamik. Bersatu perlu ada kekuatan moral yagn menjadi kompas kepimpinan, kekuatan yang akan memberi keyakinan kepada orang lain.

“Bersatu juga mesti ada kelestarian yang bersendikan kebirataan sebagai panduan untuk beroleh keredaan, kita sentiasa menghayati epistemologi tauhid.”

Hamzah menggariskan tiga prinsip untuk Bersatu pada masa depan: menegakkan keterangkuman, kesederhanaan, demokrasi, integriti dan belas kasihan; berani serta kreatif dalam memacu pembaharuan dan membina daya ketahanan dengan tidak tunduk kepada tekanan.

“Dengan adanya asas ini, rakyat akan percaya kepada Bersatu dan Perikatan Nasional untuk kembali menerajui negara.”

Beliau mengulangi PRU16 akan menjadi penentu bukan saja untuk Bersatu atau PN, tetapi rakyat juga.

Justeru, beliau meminta Pemuda dan Wanita Bersatu menggerakkan jentera mereka, bermula dengan Sabah serta Johor.

Hamzah turut menyeru pesara hakim, jeneral, penjawat awam, teknokrat dan profesional menyertai perjuangan Bersatu kerana Malaysia memerlukan “konsensus nasional” untuk menjadi Harimau Asia.

“Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kita menjanjikan keadilan dan pembinaan negara yang benar-benar merentas kaum dan agama.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.