
“Dalam beberapa keadaan, seperti dalam skop kerja politik yang lebih luas, Mahathir mengatasi Najib,” tulis pengarang Yap Koon Hong dalam bukunya ‘Notes to Myself and You’.
Pertamanya, Yap berkata, terdapat faktor tempoh perkhidmatan Mahathir yang begitu panjang, keseluruhan 24 tahun merentasi dua penggal sebagai perdana menteri tidak berturutan, hampir tiga kali ganda lebih lama berbanding sembilan tahun Najib.
“Mahathir perintis kepada pemodenan Malaysia, atau sekurang-kurangnya gagasan mengenainya,” katanya.
“Jawapan balasnya yang lantang dan tanpa tapisan terhadap stereotaip angkuh Barat serta memperlekehkan sistem nilai alternatif, termasuk nilai Asia dan Islam, merupakan bentuk pertentangan politik yang segar dan jarang sekali kedengaran di peringkat global.”
Namun, meskipun dengan pencapaian besar itu, Mahathir tetap dianggap ‘ketinggalan dari segi kasih sayang dan penerimaan dalam negara berbanding Najib’, tulis Yap.
“Keinginan Najib untuk benar-benar mendekati rakyat biasa meletakkannya lebih ke hadapan berbanding Mahathir, yang seolah-olah sentiasa mempunyai jarak halimunan yang sukar dihubungkan, tidak kira sejauh mana beliau cuba mendekati akar umbi atau sebaliknya.”
Yap juga berkata, sikap semula jadi Najib membuatkan beliau tampil ‘seperti seorang abang atau rakan minum teh tarik’ kepada rakyat Malaysia.
Persona ‘Bossku’ merupakan antitesis kepada Mahathir, yang lebih dilihat sebagai seorang ‘pak cik’ yang keras dan suka mengawal, namun tetap diterima seadanya demi mengekalkan keharmonian dalam keluarga.
Satu lagi sebab populariti Mahathir lebih rendah berbanding Najib, menurut Yap, ialah persepsi beliau terlalu licik dan tidak ikhlas dalam politik—didorong obsesi terhadap kuasa dan kawalan.
“Contoh paling ketara mengenai Mahathir yang bersifat Machiavelli ialah apabila mungkir janji secara terbuka untuk melepaskan jawatan perdana menteri kepada Anwar (Ibrahim).”
Yap juga mendakwa, Najib mempunyai hubungan lebih baik dengan pemimpin luar negara, yang ‘menghasilkan manfaat berpanjangan pro-Malaysia’ daripada dua presiden Amerika Syarikat (AS) dengan sifat yang sangat berbeza.
Katanya, Barack Obama, presiden AS ke-44, menyukai Najib, manakala penggantinya Donald Trump ‘ternyata lebih mesra lagi’.
Mahathir, sebaliknya, pernah digelar ‘keras kepala’ oleh bekas perdana menteri Australia, Paul Keating, walaupun beliau kemudian menarik balik kenyataan itu, menurut Yap.
Lebih dekat di rantau ini, Yap menegaskan Mahathir menunjukkan ‘sikap suka bertengkar secara tidak rasional’ dengan Singapura, manakala rungutan berterusannya dalam mempertikai perjanjian dua hala yang telah lama dimuktamad menekan republik itu, sekali gus merencatkan imej politiknya dan mensia-siakan peluang Malaysia untuk maju ke depan.
‘Notes To Myself And You’ kini boleh didapati di Amazon Prime dalam bentuk e-buku, manakala versi bercetak hanya tersedia di Malaysia dan Singapura melalui pembelian serta penghantaran terus.
Pembaca yang ingin membeli buku itu pada harga RM60 boleh menghubungi [email protected] atau menelefon 017 3350855.
Sebagai alternatif, mereka juga boleh menghubungi Melvin Yap di 012 7932366.