
Mulai semalam hingga 17 Sept, sukarelawan terbabit mewakili pelbagai kaum dan latar belakang anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Perpaduan Negara akan tinggal bersama komuniti tempatan untuk melakukan pelbagai kerja kebajikan selain memberi rangsangan kepada anak-anak kampung.
Mereka berada di empat lokasi di Perak iaitu Kampung Chui Chak, Langkap, Pos Legap, Sungai Siput, Kampung Selarong, Pengkalan Hulu dan Kampung Jawa Air Kuning, Tapah.
Manakala, di Pahang pula dua kampung terpilih iaitu Kampung Tanah Rom, Jerantut dan Kampung Tanjung Gahai, Sungai Koyan.
YSS berkata, selama dua minggu sukarelawan terbabit akan bersama komuniti tempatan untuk menimba pengalaman dan menyelami budaya, adat, bahasa dan dialek serta loghat masyarakat di negeri terbabit.
Katanya, antara projek utama akan dilaksanakan adalah membina laman tradisi Orang Asli di Sungai Siput dan membaik pulih makmal sains serta pusat sumber di Sungai Koyan.
“Selain itu, sukarelawan akan melaksanakan projek keceriaan sekolah serta menganjurkan program berteraskan pendidikan, kesihatan, kesedaran digital dan pembangunan keusahawanan.
“Sukarelawan siswa juga akan melaksanakan inisiatif ‘Ini Warisan Kita’, selari pengisian utama KPN bagi menyuntik semangat cintakan tanah air melalui penghayatan kepada kepelbagaian khazanah diwarisi turun-temurun.
“Mereka akan menyediakan dokumentasi mengenai cara hidup, makanan, bahasa, budaya, tarian dan pakaian tradisional etnik terlibat di dalam pelaksanaan misi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan, sukarelawan akan melibatkan diri dengan pelbagai komuniti antaranya di kampung Melayu, penempatan kaum Cina dan India selain menyantuni Orang Asli dan komuniti Siam.
Katanya, misi itu memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti dan pengukuhan perpaduan dengan penglibatan sukarelawan.
“Setiap aktiviti berlandaskan teras kesukarelawanan YSS dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN SDG), termasuk aspek pendidikan, kesejahteraan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 2012, YSS melaksanakan 80 misi sukarelawan di dalam dan luar negara yang memberi manfaat secara langsung kepada lebih 1.7 juta orang.