Politik Sabah unik, demokrasi, Hajiji ulas BN tidak kerjasama

Politik Sabah unik, demokrasi, Hajiji ulas BN tidak kerjasama

Pengerusi GRS itu sekali lagi tegaskan hubungan bersama PH diteruskan walaupun BN mengambil langkah sebaliknya.

Hajiji
Pengerusi GRS Hajiji Noor ulas sama ada keputusan BN tidak bekerjasama dengan GRS pada PRN bercanggah nasihat Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dibuat pada Mei lalu.
PETALING JAYA:
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor menekankan ‘keunikan politik Sabah’ dan ‘demokrasi’ apabila mengulas keputusan Barisan Nasional tidak bekerjasama dengan gabungannya pada PRN17.

Hajiji yang juga ketua menteri Sabah berkata demikian ketika ditanya apakah keputusan BN itu bercanggah dengan nasihat Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Mei lalu.

“Ini bukan baru berlaku. Di Sabah, BN pembangkang dan di peringkat pusat, BN bersama. Ini biasalah dalam politik, terutama di Sabah,” katanya memetik Berita Harian.

Seawal Mei lagi, Hajiji menegaskan prinsip GRS bahawa parti-parti tempatan harus diutamakan dalam menerajui kerajaan Sabah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, GRS belum memutuskan sama ada gabungan itu benar-benar tidak akan bekerjasama dengan BN dan akan membuat pengumuman selepas ia dimuktamadkan.

Beliau juga mengulangi komitmen bekerjasama dengan Pakatan Harapan, mengambil kira kerajaan Sabah dibentuk dua gabungan itu.

“Itu terpulang kepada BN dan Umno (jika tidak mahu bekerjasama),” katanya.

Semalam, Presiden Umno Zahid Hamidi mengesahkan Umno-BN menolak kerjasama dengan GRS, namun meneruskan kerjasama bersama PH.

Pada Mei lalu, Anwar yang juga pengerusi PH mahu kerjasama menjelang PRN Sabah turut melibatkan GRS, bersama PH dan Umno-BN.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini, jika bukan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.