Polis tidak terima laporan penipuan subsidi perumahan

Polis tidak terima laporan penipuan subsidi perumahan

Polis Singapura dilaporkan beri amaran mengenai satu penipuan melibatkan subsidi perumahan Johor-Singapura yang tular di Facebook.

Ab Rahaman Arsad
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan SPF sekiranya diperlukan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan penipuan subsidi perumahan Johor-Singapura susulan amaran yang dikeluarkan polis Singapura (SPF) berhubung kes itu.

Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan SPF sekiranya diperlukan.

Beliau berkata pihaknya mengambil maklum artikel yang melaporkan SPF memberikan amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap penipuan tersebut.

“Polis Johor mengesahkan bahawa tiada laporan berkaitan penipuan tersebut diterima kontinjen. Bagaimanapun, polis Johor akan bekerjasama dengan SPF sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran berbentuk subsidi, dan disaran mengambil langkah pencegahan supaya tidak menjadi mangsa.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau akaun Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Facebook, Instagram dan TikTok bagi maklumat lanjut berhubung modus operandi terkini melibatkan kes penipuan.

Semalam, media Singapura melaporkan SPF memberikan amaran mengenai satu penipuan melibatkan subsidi perumahan Johor-Singapura yang tular di Facebook.

Mangsa penipuan didakwa menemukan iklan berserta pautan yang mempromosikan “JBSG Housing Subsidy Program” atau “Free Homes Across the Causeway” di platform berkenaan.

Laporan itu dipetik berkata iklan tersebut menggambarkan wujud kerjasama antara kerajaan Johor dan Singapura dalam penyediaan perumahan bersubsidi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.