Nahas kendiri, 3 maut di Lebuhraya Pan Borneo

Nahas kendiri, 3 maut di Lebuhraya Pan Borneo

Empat lagi mangsa dalam kenderaan sama cedera dalam kejadian di laluan Serian-Sri Aman.

Dua warga emas antara tiga maut selepas 4WD dinaiki terbabas dalam kejadian di Ensebang Kuari Balai Ringin, KM219 Lebuhraya Pan Borneo Serian-Sri Aman. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Tiga maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) terbabas di Ensebang Kuari Balai Ringin, KM219 Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Serian-Sri Aman, pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata mangsa maut adalah Janting Pangau, 75; Senin Beriak, 64; dan Paula Janting, 43.

Katanya, Janting dan Paula disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan, manakala Senin di Hospital Serian ketika sedang menerima rawatan.

“Empat lagi mangsa dalam kenderaan sama yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital bagi diberikan rawatan susulan,” katanya menurut Berita Harian.

Sepasukan anggota Balai Bomba Serian ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 11.54 pagi.

“Sesampainya di lokasi kemalangan, pasukan bomba mendapati berlaku kemalangan kendiri membabitkan sebuah kenderaan empat pacuan roda yang terbalik di tepi penghadang jalan.

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.