
Beliau menegaskan komitmen kementerian untuk menyempurnakan semakan kadar elaun tersebut yang telah dijalankan sejak mutakhir ini.
“Bersama-sama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ia akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam waktu terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan menyusul selepas gesaan Senator Dr RA Lingeshwaran supaya kerajaan menaikkan elaun ‘on-call’ doktor yang didakwa sering tertangguh.
Katanya, cadangan kenaikan elaun RM55 hingga RM65 untuk semua doktor hanya memerlukan perbelanjaan antara RM75 juta hingga RM80 juta setahun iaitu kira-kira 2% daripada bajet tahunan Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata petugas kesihatan kini menerima pelbagai jenis elaun bertugas antaranya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Bayaran Insentif Pakar serta Elaun Bertugas Selepas Waktu Pejabat di Klinik Kesihatan.
Ini juga termasuk Klinik Rawatan Pesakit di Jabatan Kecemasan Hospital (Elaun Locum), Elaun Pembedahan Elektif serta yang terkini, Bayaran Insentif Pakar Pra Warta (BIPPW), menurutnya.
“Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha untuk menambah baik pemberian insentif serta kebajikan kakitangan dan petugas kesihatan dengan menjalankan pelbagai kajian elaun dan kemudahan.
“Penambahbaikan seperti ini akan terus diusahakan secara berkala mengikut keadaan semasa,” katanya.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa elaun ‘on-call’ untuk doktor dan doktor gigi dalam kategori tertentu akan dinaikkan antara RM55 hingga RM65.