Jadikan Rasulullah teladan hadapi cabaran bina negara, kata PM

Jadikan Rasulullah teladan hadapi cabaran bina negara, kata PM

Anwar Ibrahim berkata Rasulullah telah meletakkan asas-asas kemadanian seperti martabat insan dan prinsip keadilan berasaskan nilai-nilai keagamaan.

Prime Minister Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata penghayatan mendalam ajaran dan warisan Rasulullah akan menggerakkan umat Islam lebih berdisiplin dan optimis terhadap masa depan.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam di negara ini menghadapi cabaran membina bangsa dan negara bersama-sama dengan berpaksikan sunnah serta meneladani perjuangan Rasulullah.

Beliau berkata melalui kepimpinan Baginda di Madinah, Rasulullah telah meletakkan asas-asas kemadanian seperti martabat insan, prinsip keadilan dan kedaulatan hukum, nilai ilmu dan akhlak serta nilai-nilai kemanusiaan berasaskan nilai-nilai keagamaan.

“Masyarakat madani dalam erti umat yang berjaya dibentuk oleh Nabi SAW di Madinah itu adalah khayra ummah, iaitu masyarakat atau umat unggul.

“Umat ini dicirikan dengan keimanan, nilai-nilai khayr (kebaikan), memberi manfaat kepada kemanusiaan sejagat, serta beriltizam terhadap tanggungjawab pendaulatan nilai-nilai ma’ruf dan pembasmian gejala-gejala mungkar,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook sempena Maulidur Rasul 1447H/2025M hari ini.

Anwar berkata dengan penghayatan dan kefahaman mendalam mengenai esensi ajaran dan warisan Nabi Muhammad, ia akan terus memandu dan menggerakkan seluruh umat Islam untuk bekerja lebih kuat, berdisiplin dan optimis terhadap masa depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.