Azmin sahkan perbincangan tak rasmi PN dengan MCA, MIC

Azmin sahkan perbincangan tak rasmi PN dengan MCA, MIC

Setiausaha agung PN sifatkan perbincangan sedemikian 'permulaan baik'.

mohamed azmin ali
Setiausaha Agung PN Azmin Ali berkata, MCA dan MIC iktiraf dasar kerajaan PN terdahulu di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin sebagai adil dan wakili segenap lapisan masyarakat.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali mengesahkan berlakunya perbincangan tidak rasmi antara gabungan itu dengan MCA dan MIC, dua parti komponen Barisan Nasional (BN).

Azmin berkata, MCA dan MIC mengiktiraf dasar-dasar kerajaan PN terdahulu di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin sebagai adil dan mewakili segenap lapisan masyarakat di negara ini.

“Ya, pertemuan dan perbincangan tidak rasmi berlaku sebab mereka rakan-rakan kita,” katanya, lapor Sinar Harian.

Apabila ditanya sama ada perbincangan tersebut boleh membawa kepada penyertaan parti-parti itu ke dalam PN, Azmin berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sedemikian.

Beliau bagaimanapun berkata: “Itu satu permulaan yang baik. Dari situ, kita akan cari titik permulaan untuk lihat kepentingan-kepentingan tadi dapat digabung menjadi satu penyelesaian yang terbaik untuk rakyat pada masa yang akan datang.”

Azmin yang juga setiausaha agung Bersatu menambah, PN mengadakan perbincangan rasmi bukan sahaja dengan MCA dan MIC.

“Perbincangan tidak rasmi sentiasa berlaku, bukan sahaja dengan MCA ataupun MIC, tetapi dengan semua pihak bersedia untuk bersama-sama menyatukan gabungan yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan kepartian mahupun peribadi,” katanya.

Azmin berkata, pengalaman MCA dan MIC dalam kerajaan dapat membantu Bersatu dan PN membentuk dasar lebih progresif, memandangkan Malaysia terus berdepan dengan cabaran ekonomi.

“Kita perlukan pandangan baharu, idea-idea yang baharu, termasuk daripada anak-anak muda, bagaimana kita dapat sedia penyelesaian bagi mereka yang perlu bantuan dan dukungan kerajaan,” katanya.

MCA dan MIC telah lama menjadi komponen BN yang diterajui Umno, rakan kongsi penting dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, BN juga sekutu penting dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin, malah memberikan sokongan kepada presiden Bersatu itu untuk menjadi perdana menteri selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Jun lepas, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, 191 bahagian parti itu akan membincangkan hala tujunya ekoran ketidakpuasan hati berhubung pengaruh terhad parti itu dalam kerajaan, dan akan mengemukakan cadangan pada perhimpunan agung tahunan Oktober ini.

MIC turut menyatakan kesediaan memulakan rundingan dengan mana-mana parti demi kelangsungan politiknya serta untuk membela nasib masyarakat India.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menafikan pucuk pimpinan MCA dan MIC membincangkan hasrat meninggalkan gabungan itu dengannya.

Presiden Umno itu berkata, perkara tersebut juga tidak dibawa untuk dibahaskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) BN lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.