Pemimpin akar umbi Bersatu gesa siasat kandungan surat layang

Pemimpin akar umbi Bersatu gesa siasat kandungan surat layang

Ketua Bersatu Tasek Gelugor, Azmi Alang, berkata kandungan surat tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan maruah dan kepentingan parti.

Azmi Alang
Ketua Bersatu Tasek Gelugor, Azmi Alang, berkata sekiranya kandungan surat layang itu tidak disiasat, lebih banyak spekulasi dan tuduhan akan timbul, sekali gus melemahkan parti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin akar umbi Bersatu menggesa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) menyiasat dakwaan dalam surat layang yang menyentuh isu integriti Timbalan Presiden Hamzah Zainudin dan kewujudan ‘broker’ dalam parti.

Ketua Bersatu Tasek Gelugor, Azmi Alang berkata kandungan surat tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan maruah dan kepentingan parti.

Azmi yang juga Adun Teluk Air Tawar berkata, isu utama bukan siapa menulis surat berkenaan tetapi perkara yang didedahkan di dalamnya yang perlu diteliti secara serius.

Menurut Azmi, sekiranya kandungan surat itu tidak disiasat, lebih banyak spekulasi dan tuduhan akan timbul, sekali gus melemahkan parti.

“Jika MPT tidak menyiasat, imej kepimpinan akan terus tercalar. Tetapi jika dakwaan itu tidak berasas, siasatan akan membersihkan nama Hamzah.

“Isu broker dan pengkhianat akan dapat ditutup dan parti menjadi lebih kuat,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau lagi, jika benar wujud broker dalam parti, ahli berhak tahu identiti individu tersebut serta apa tindakan yang telah diambil terhadap individu itu.

“Kalau betul berlaku pengkhianatan, tindakan tegas perlu diambil oleh MPT dan Lembaga Disiplin. Kita tidak boleh biarkan parti digadaikan kepada musuh,” katanya.

Surat layang yang kini tersebar dalam pelbagai ‘group’ WhatsApp penyokong parti itu sejak beberapa hari lalu mendakwa Hamzah ‘menikam dari belakang’.

Ia juga menyatakan Muhyiddin Yassin pernah berjanji melepaskan jawatan presiden atau melantik Hamzah sebagai pengganti.

Surat itu juga mendakwa Hamzah menyalah guna formula pemilihan parti untuk fitnah ‘janji serah kuasa’ yang memecahbelahkan perpaduan Bersatu.

Muhyiddin dan timbalannya Hamzah, masing-masing tidak dicabar dalam pemilihan Oktober tahun lalu.

Pada pemilihan Bersatu bagi penggal 2024-2027, perdana menteri kelapan itu menang tanpa bertanding jawatan presiden.

Pada perasmian Perhimpunan Agung Tahunan 23 Nov 2023, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden. Namun, beliau membuat ‘pusingan U’ dua hari kemudian selepas diyakinkan isterinya Noorainee Abdul Rahman untuk tidak mengecewakan ahli yang memerlukannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.