Najib gagal dapat kebenaran mula prosiding hina mahkamah ke atas bekas AG

Najib gagal dapat kebenaran mula prosiding hina mahkamah ke atas bekas AG

Mahkamah Tinggi memutuskan Najib Razak gagal buktikan kes prima facie terhadap Ahmad Terrirudin Salleh.

Najib Razak Ahmad Terrirudin Salleh
Najib Razak gagal memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin Salleh berhubung dakwaan menyembunyikan titah adendum, membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani hukuman bawah tahanan rumah.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Najib Razak gagal mendapatkan kebenaran memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap bekas peguam negara, Terrirudin Salleh.

Hakim Mahkamah Tinggi Loke Yee Ching memutuskan Najib gagal membuktikan kes prima facie penghinaan mahkamah terhadap responden.

“Oleh itu permohonan kebenaran ditolak dengan kos RM20,000 yang perlu dibayar oleh pemohon,” katanya.

Najib memohon kebenaran memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Terrirudin berhubung dakwaan peranannya menyembunyikan titah adendum, yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara yang telah dikurangkan bawah tahanan rumah.

Melalui peguamnya Shafee Abdullah, beliau mendakwa Terrirudin mempunyai pengetahuan peribadi mengenai titah tersebut kerana ia telah diserahkan kepadanya semasa pengkhidmatannya sebagai peguam negara dari September 2023 hingga November 2024.

Shafee memberitahu mahkamah beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di mahkamah lebih tinggi.

Hakim mengambil maklum Najib dilihat bergantung pada peristiwa-peristiwa selepas itu untuk mewujudkan kes prima facie, khususnya titah adendum yang dikemukakan di Mahkamah Rayuan semasa permohonan kebenaran.

“Selepas dibenarkan mengemukakan titah adendum itu, pemohon kini mengesahkan ia wujud dan mendakwa responden sedar akan perkara tersebut sejak awal lagi dan oleh itu mesti dipertanggungjawabkan kerana memberikan gambaran bertentangan.

“Namun, pada masa permohonan kebenaran difailkan, pemohon sendiri masih tidak pasti tentang kewujudan perintah itu,” kata Loke.

Loke juga berkata, tiada bukti kukuh menunjukkan responden bertindak secara peribadi seperti didakwa, sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai ‘sekadar spekulasi’.

Loke menekankan bahawa tidak boleh diandaikan Terrirudin telah memberikan arahan khusus untuk mengemukakan hujahan palsu hanya berdasarkan pendirian diambil Jabatan Peguam Negara dalam membantah permohonan kebenaran itu.

Beliau juga menyebut kelewatan setahun oleh pemohon dalam memfailkan prosiding penghinaan mahkamah.

“Mahkamah secara konsisten berpendirian bahawa penghinaan mahkamah, sebagai satu perkara serius, perlu diambil tindakan dalam tempoh munasabah.

“Saya dapati kelewatan itu memudaratkan kes pemohon,” katanya.

Najib disabitkan menyalahgunakan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, sejak 23 Ogos 2022.

Beliau telah memfailkan petisyen pengampunan diraja, pada 2 Sept 2022.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian mengurangkan tempoh penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun serta mengurangkan dendanya RM210 juta kepada RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.