Mahkamah tolak permohonan injunksi Farhash terhadap laporan portal

Mahkamah tolak permohonan injunksi Farhash terhadap laporan portal

Hakim Nor Hayati Haji Mat berkata terlalu awal untuk mahkamah memutuskan sama ada laporan itu memfitnah ahli perniagaan terbabit.

farhash
Wafa Salvador Rizal Mubarak dan dua yang lain menyaman MalaysiaNow berhubung laporan berita mengaitkannya dengan pemberian lesen perlombongan oleh agensi kerajaan Sabah.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, untuk menghalang sebuah portal berita daripada mengaitkannya dengan skandal perlombongan di Sabah sementara menunggu perbicaraan kes saman fitnah.

Peguam Rajesh Nagarajan berkata, Hakim Nor Hayati Mat memutuskan terlalu awal untuk mahkamah menentukan sama ada laporan yang dipersoalkan dan diterbitkan MalaysiaNow bersifat fitnah.

“Pembelaan yang dikemukakan tidak berasas, oleh itu tiada keperluan untuk perintah injunksi sementara,” kata Rajesh memetik kenyataan Nor Hayati.

Pada 30 Julai, plaintif – Farhash, Bumi Suria dan ahli perniagaan Aminudin Mustapha – memfailkan saman berjumlah RM10 juta terhadap MalaysiaNow dan Ketua Editor Abdar Rahman Koya, berhubung tiga laporan berita mengaitkannya dengan pemberian lesen perlombongan oleh sebuah agensi kerajaan Sabah.

Farhash mendakwa, pelbagai kenyataan disiarkan portal itu yang mendakwa beliau memiliki Bumi Suria Sdn Bhd dan syarikat tersebut diberikan lesen adalah ‘palsu dan fitnah’.

Menurutnya, beliau hanya seorang pengarah dan pemegang saham syarikat itu dan memohon injunksi interim untuk menghalang portal tersebut daripada menerbitkan laporan atau artikel lain mengenai perkara berkenaan sementara menunggu perbicaraan.

Dalam keputusannya, Nor Hayati menyatakan walaupun Bumi Suria belum diberikan lesen, ia tidak dipertikaikan bahawa syarikat itu diberikan kebenaran untuk memohon satu lesen.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, Bumi Suria telah menerima surat kebenaran bersyarat untuk memohon lesen perlombongan daripada Sabah Mineral Management Sdn Bhd, dua minggu selepas Farhash dan Aminudin dilantik sebagai pengarah.

MalaysiaNow dan ketua editornya diwakili Rajesh, Sachpreetraj Singh Sohanpal dan Amanda Sonia Mathew dalam prosiding tersebut.

Plaintif pula diwakili Rajan Navaratnam, Sheena Stephanie Sebastian, R Aswath dan Ezryl Azlyzan Ahmad Damanhuri.

CROSSHEAD: Bumi Suria hormati keputusan mahkamah dalam kes fitnah

Dalam satu kenyataan, Bumi Suria berkata pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan yakin bahawa butiran penuh mengenai perkara itu akan diperjelas semasa perbicaraan.

Syarikat itu memaklumkan mahkamah menyatakan ia tidak cenderung untuk memberikan injunksi pada peringkat awal ini kerana isu utama sama ada Bumi Suria telah dianugerahkan lesen perlombongan, atau sekadar diberi kebenaran untuk memohon lesen tersebut, perlu ditentukan semasa perbicaraan.

Pengurusan kes ditetapkan pada 18 September.

“Bumi Suria menghormati keputusan mahkamah dan kekal komited untuk menangani perkara ini melalui saluran perundangan yang sewajarnya.

“Syarikat ini terus menegakkan komitmen untuk mematuhi semua undang-undang serta peraturan yang berkaitan dalam operasinya,” katanya.

Bumi Suria turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan dan orang ramai atas kesabaran serta pemahaman mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.