
Exco Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari, berkata jejambat dan jalan bawah tanah penting bagi melancarkan aliran trafik, sambil menegaskan bahawa cabaran utama Pulau Pinang bukanlah salah keutamaan, tetapi akibat kurangnya pembangunan infrastruktur dan kekangan ruang selama bertahun-tahun.
“Mudah untuk cakap mari tambah bas, tetapi melainkan bas-bas itu boleh terbang, ia juga perlu gunakan jalan yang sama,” katanya kepada FMT, sambil memberi amaran bahawa pembinaan lorong bas tanpa perancangan rapi boleh memburukkan lagi keadaan.
“Pakar yang kata jejambat dan jalan bawah tanah tidak menyelesaikan masalah juga perlu beritahu kami apa lagi yang boleh dilakukan.”

Zairil menjawab kritikan aktivis dan seorang perunding pengangkutan, yang mendakwa kerajaan negeri lebih mengutamakan projek mega seperti LRT dan jalan bawah tanah, sambil mengabaikan penyelesaian lebih menjimatkan kos.
Bekas ahli ekonomi, Lim Mah Hui, sebelum ini memberi amaran bahawa pemotongan bajet projek LRT boleh menjadikan ia ‘gajah putih’ — sistem rel yang mahal tetapi gagal memenuhi keperluan pengguna.
Namun, Zairil menolak dakwaan itu, sambil menyifatkan Lim sebagai seorang pesimis dan kritikan beliau sebelum ini juga terbukti tidak tepat.
“(Lim) pernah kata Spice Convention Centre akan jadi gajah putih dan Pulau Pinang tidak perlukan pusat konvensyen besar.
“Tetapi disebabkan permintaan yang tinggi, pusat yang lebih besar kini sudah dibina. Jadi saya tidak ambil serius apa yang beliau kata,” katanya.
Mengulas kebimbangan bahawa kerajaan negeri mengabaikan nasihat perancangan terdahulu, Zairil berkata Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang sedia ada berasaskan Pelan Halcrow 2013, yang menurutnya ‘peringkat tinggi dan bersifat konsep’.
“PTMP ialah versi lebih terperinci dan praktikal yang diterima pakai dan kini sedang dilaksanakan kerajaan negeri.”
Beliau turut menolak kebimbangan perunding pengangkutan, Wan Agyl Wan Hassan, yang sebelum ini berkata jejambat dan jalan bawah tanah hanya memindahkan masalah bukan menyelesaikannya. Wan Agyl sebelum ini berkata, ia hanya berjaya jika digabung dengan penambahbaikan pengangkutan awam dan pengurusan permintaan.
Zairil berkata kerajaan negeri memberi tumpuan kepada penambahbaikan rangkaian pengangkutan melalui pembinaan jalan lebih baik, peningkatan sistem pengangkutan awam, dan pelaksanaan sistem baharu seperti LRT untuk mengangkut penumpang dalam jumlah besar secara lebih efisien.
“Menyelesaikan kesesakan adalah keutamaan sebenar. Sebab itu begitu banyak sumber disalurkan ke arah itu,” katanya.